skip to Main Content

“Aduhai, tak boleh pulak nak puasa. Ruginya rasa.”
“Ya Allah, seronoknya tengok orang lain boleh terawih ramai-ramai.”
“Cemburunya…. Semua orang berebut-rebut kumpul pahala bulan Ramadan. Aku tak boleh nak buat apa-apa.”
Sedihnya ☹

——
Beginilah antara beberapa keluhan dan luahan yang kadangkala keluar daripada mulut para wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan.

Sahabat,

Haid adalah fitrah bagi seorang wanita. Saidatina Aisyah r.a. juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji. Rasulullah SAW menenangkan hati Aisyah dengan berkata,

إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah.”
[HR Bukhari]

Wanita yang berada dalam keadaan haid semasa Ramadan tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan daripada Allah SWT. Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan.

AMALAN WANITA HAID SEMASA RAMADAN:

1. MEMPERBANYAKKAN DOA DAN ZIKIR.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
[Surah al-Ahzab: 41-42]

Selain itu, Allah juga berfirman:

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ
Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.
[Surah al-Baqarah: 152]

2. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN.

Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.”
[HR Bukhari]

*BOLEHKAH MEMBACA ZIKIR HARIAN, DOA AMALAN DAN SURAH-SURAH LAZIM SEMASA HAID?

– Ulama tidak melarang wanita dalam haid membaca zikir sama ada yang dipetik daripada sebahagian kecil ayat al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW seperti surah al-Fatihah, ayat kursi dan tiga Qul.
– Dibolehkan juga untuk membaca al-Quran bagi wanita yang menghafaz al-Quran sebagai kemudahan supaya tidak terlupa serta dibolehkan juga untuk tujuan belajar dan mengajar al-Quran.

Antara contoh doa yang boleh diamalkan adalah seperti:

a. Doa Kebaikan Di Dunia dan Akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia, kurniakanlah juga kepada kami kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari azab neraka.”
[Surah al-Baqarah: 201]

b. Doa Memohon Ampun.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pasti kami termasuk orang-orang yang rugi.”
[Surah al-A’raf: 23]

c. Doa Agar Diri Dan Keturunan Rajin Mendirikan Solat.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
Maksudnya: “Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini.”
[Surah Ibrahim: 40]

Antara contoh zikir yang boleh diamalkan adalah seperti:

a. Zikir Taubat.

أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيمَ الَّذِي لاَ إلَهَ إلاَّ هُوَ، الحَيُّ القَيُّومُ، وَأتُوبُ إلَيهِ
Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan selain Dia Yang Maha Hidup dan Memelihara (kehidupan), dan aku bertaubat kepada-Nya.”

b. Zikir Fatimah.

سُبْحَانَ الله، الْحَمْدُ لِلَّه، اللهُ أَكْبَر
Maksudnya: “Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, Allah Maha Besar.”

c. Zikir Pemberat Timbangan.

سُبْحَانَ اللَّهِ وبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
Maksudnya: “Maha Suci Allah dan pujian bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.”

Antara contoh surah lazim adalah:

a. Surah yang berada pada juzuk 30 bermula Surah Ad-Dhuha hingga al-Ikhlas
b. Misalnya Surah al-Insyirah, al-Kafirun, al-Kauthar, al-Masad, al-Falaq, an-Nas dan lain-lain.

3. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
[HR Muslim]

4. MEMPELAJARI ILMU AGAMA.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.”
[HR Muslim]

5. MELAZIMI SEDEKAH.

Wanita yang haid masih boleh melakukan sedekah di bulan Ramadan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:

يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الْاِسْتِغْفَارَ ، فَإِنِّـيْ رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.”
[HR Muslim]

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).”
[HR Bukhari]

6. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA.

Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”
[HR Tirmizi, hadis sahih]

KESIMPULAN

Apa jua kebaikan seperti melakukan tugas harian, menguruskan rumah tangga, bekerja mencari rezeki dan sebagainya yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dianggap sebagai satu ibadah. Ibadah yang sempurna akan diberi ganjaran hikmah dan pahala. Insya-Allah.

Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala. Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.

 


Sumber : facebook Ustazah Asma’ Harun

Back To Top