skip to Main Content

 

1- Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33 kali, Allahu akbar 34x.

قَالَ حَدَّثَنَا عَلِيٌّ، أَنَّ فَاطِمَةَ، عَلَيْهَا السَّلاَمُ شَكَتْ مَا تَلْقَى مِنْ أَثَرِ الرَّحَا،
‘Ali radiallahu ‘anhu menceritakan bahawa Fatimah radiallahu ‘anha mengadu tentang kesakitan yang disebabkan kerja menggiling.

فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَبْىٌ، فَانْطَلَقَتْ فَلَمْ تَجِدْهُ، فَوَجَدَتْ عَائِشَةَ، فَأَخْبَرَتْهَا،
Beberapa orang tawanan perang telah dibawa kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Fatimah pun pergi untuk menemui baginda tetapi tidak dapat berjumpa baginda. Sebaliknya dia berjumpa dengan ‘Aisyah radiallahu ‘anha. Dia pun menceritakan hal itu kepada ‘Aisyah.

فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ بِمَجِيءِ فَاطِمَةَ، فَجَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَيْنَا،
Apabila baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam tiba, ‘Aisyah menceritakan tentang kedatangan Fatimah kepada baginda. Lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pun datang kepada kami.

وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْتُ لأَقُومَ فَقَالَ ‏”‏ عَلَى مَكَانِكُمَا ‏”‌‏.‏ فَقَعَدَ بَيْنَنَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى صَدْرِي
Ketika itu kami sudah mahu tidur. Aku hampir mahu bangun tetapi baginda berkata: Tetap sahaja di tempat kamu. Baginda duduk di antara kami sehingga aku dapat merasai kesejukan kakinya di atas dada ku.

وَقَالَ ‏”‏ أَلاَ أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَانِي إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا تُكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، وَتُسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَتَحْمَدَا ثَلاَثَةً وَثَلاَثِينَ، فَهْوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ ‏”‌‏.‏
Baginda berkata: Mahukah jika aku ajarkan kamu berdua apa yang lebih baik daripada yang kamu berdua minta. Apabila kamu mahu tidur, bertakbirlah 34 kali, tasbih 33 kali dan tahmid 33 kali. Itu lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang pembantu.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail Ashab an-Nabiy, no: 3705].

2- Ayat al-Kursiy.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menugaskan aku untuk menjaga kutipan zakat Ramadhan.

فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ ،
Lalu datang kepada ku seseorang lalu dia mengambil makanan (daripada simpanan zakat itu). Lalu aku menangkapnya.

فَقُلْتُ : لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ ،
Lalu aku berkata: Aku akan bawa engkau kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Abu Hurairah pun menceritakan kisah penuh hadis ini.

فَقَالَ : ” إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ ،
Pencuri makanan itu mengajar: Apabila engkau pergi ke tempat tidur, bacalah ayat al-Kursiy. Engkau akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah, dan syaitan tidak akan menghampiri engkau hingga pagi.

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ
Lalu nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Dia berkata benar walau dia seorang penipu. Itulah syaitan.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’i al-Kholqi, hadis no: 3052]

 

 

3- Membaca 3 Qul

عَنْ عَائِشَةَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ،
‘Aisyah radiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila pergi ke tempat tidurnya pada malam hati, baginda akan menyatukan kedua tapak tangannya.

ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا ، فَقَرَأَ فِيهِمَا : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ وقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
Kemudian baginda akan menghembus pada kedua tapak tangan itu, lalu membaca padanya: Surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.

ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ ،
Kemudian baginda akan menyapu bahagian tubuhnya yang dapat disapu dengan kedua tapak tangannya bermula dari kepala, wajah dan bahagian depan tubuhnya.

يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Baginda melakukan hal itu tiga kali.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhoil al-Quran, hadis no: 4655]

4- Membaca doa tidur

عَنْ حُذَيْفَةَ ، قَالَ : ” كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ ، قَالَ :
Daripada Huzaifah radiallahu ‘anhu: Apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mahu tidur. Baginda akan membaca:

بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا ،
Dengan nama Mu Ya Allah aku mati dan aku hidup.

وَإِذَا اسْتَيْقَظَ مِنْ مَنَامِهِ ، قَالَ
Apabila baginda bangun daripada tidurnya, baginda akan membaca:

: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami, dan kepadaNya kami kembali. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5876].

Jom azam berusaha untuk membaca sebahagian zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sebelum tidur. Banyak lagi doa tidur yang ada dalam sunnah tetapi kita tidak tahu.

 

 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ فِيهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ تِرَةٌ ،
Sesiapa yang duduk dalam satu majlis yang dia tidak mengingati Allah padanya, maka dia akan mendapat pengurangan (dalam kebaikan) daripada Allah.

وَمَنِ اضْطَجَعَ مَضْجَعًا لَا يَذْكُرُ اللَّهَ فِيهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ تِرَةٌ
Sesiapa yang berbaring (tidur) pada di tempat perbaringan yang mana dia tidak mengingati Allah padanya, maka dia mendapat pengurangan (dalam kebaikan) daripada Allah.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab, hadis no: 4217]


Sumber : Telegram Ustaz Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top