Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kedudukan solat seseorang yang membaca al-Fatihah sekadar di dalam hatinya sahaja? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada lima iaitu:
- Takbiratul ihram
- Bacaan Surah al-Fatihah
- Bacaan tasyahhud akhir
- Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
- Salam.
Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. Syeikh Sulaiman al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri begitu juga dengan rukun qauli yang lain.[1]
Imam al-Nawawi menyebut bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar.[2]
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Bacaan al-fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita. Hendaklah bacaan al-fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati. Kata Imam al Syafi’e:
وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ
Maksudnya: Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya.[3]
Pandangan Imam al-Syafi’e ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab R.anh bahawa beliau ditanyakan:
بِأَىِّ شَىْءٍ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ قَالَ بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ
Maksudnya: “Dengan cara apakah kamu mengetahui bacaan Nabi SAW pada solat zohor dan asar? Kata Khabbab: Kami (mengetahui bacaan Nabi SAW) dari pergerakan janggut baginda.”[4]
Selain itu, Imam al-Nawawi turut menjelaskan isu ini dengan menyebut: “Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan Al-Fatihah, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.”[5]
Dalam kitab I’anatu al-Talibin turut dijelaskan: (Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kami menyatakan di sini, adalah tidak sah solat seseorang itu sekiranya bacaan al-Fatihah dibaca melalui hati sahaja. Justeru, hendaklah bacaan al-Fatihah dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran kita, dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan.
Wallahu a’lam
[1] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189
[2] Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/242
[3] Lihat Mukhtasar al Buwaithi, hlm. 244
[4] Riwayat Ibn Majah (826)
[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/394
[6] Lihat I`anatu al-Talibin, 3/295