skip to Main Content

Firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan yang mana padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan tentang petunjuk itu serta pembeza (antara kebenaran dan kebathilan). [Al-Baqarah : 185]

 إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. [Al-Qadr : 1]

 وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ (2) إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3

Kitab yang jelas (2) Sesungguhnya kami telah menurunkannya pada malam yang diberkati. Sesungguhnya kami pemberi peringatan. [Ad-Dukhan : 2-3]

Ketiga-tiga ayat ini tidaklah saling bertentangan antara satu sama lain. Kesemuanya menunjukkan kepada maksud yang sama iaitu al-Quran diturunkan pada malam yang diberkati, iaitu satu malam yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Persoalannya, ayat ini seolah-olah bercanggah dengan realiti yang berlaku kerana diketahui al-Quran turun secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selama 23 tahun.

 


 

Terdapat tiga pandangan ulama dalam hal ini:

  • Pertama: Ayat-ayat di atas merujuk kepada turunnya al-Quran dari Baitul ‘Izzah ke langit dunia sekaligus. Kemudian dari langit dunia al-Quran diturunkan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun. Ini merupakan pendapat Ibn ‘Abbas dan majoriti ulama.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالْهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ‏.‏

Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun. Baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun dan ketika itu wahyu diturunkan kepada baginda. Kemudian baginda disuruh berhijrah, lalu baginda berhijrah selama 10 tahun. Baginda meninggal ketika berumur 63 tahun. [Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, hadis no: 3902]

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : ” أُنْزِلَ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ، ثُمَّ أُنْزِلَ بَعْدَ ذَلِكَ بِعِشْرِينَ سَنَةً

Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Al-Quran diturunkan ke langit dunia sekaligus pada malam al-Qadar. Kemudian diturunkan selepas itu selama 20 tahun. [Al-Mustadrak, Kitab at-Tafsir, no: 2879, hadis sahih. Disahihkan jua oleh adz-Dzahabi]

  • Pendapat yang kedua: Ketiga-tiga ayat di atas menunjukkan permulaan al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudiannya, al-Quran diturunkan secara bertahap-tahap selama 23 tahun. Pendapat kedua dan yang pertama tidaklah terdapat perbezaan yang sangat besar.
  • Pendapat yang ketiga: Al-Quran diturunkan pada setiap malam lailatulqadar pada setiap tahun ke langit dunia. Turunnya ke langit dunia pada malam al-Qadar itu membawa sejumlah wahyu yang akan diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang tahun itu. Pendapat ini tiada dalil padanya.

Kesimpulannya:

  • Al-Quran diturunkan sekaligus ke Baitul ‘Izzah pada malam al-Qadar
  • Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

 


Sumber : Ust. Masri Mohd Ramli 

Back To Top