skip to Main Content

1- Termasuk prinsip asas di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah kita tidak boleh memastikan seseorang individu dengan syurga atau neraka:

Kata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah :

ولا نشهد على أهل القبلة بعمل يعمله بجنة ولا نار، نرجو للصالح ونخاف عليه، ونخاف على المسيء المذنب، ونرجو له رحمة الله

Kita (Ahli Sunnah) tidak menjadi saksi (untuk menjazamkan: memastikan) atas ahli kiblat dengan amalan yang diamalkannya itu dengan (kepastian) syurga tidak juga dengan (kepastian) neraka, kita mengharapkan kebaikan untuk orang yang soleh dan kita takut (berlaku perubahan) ke atasnya, kita merasa bimbang ke atas pelaku keburukan yang berdosa, kita mengharapkan baginya rahmat Allah.

[ Usul Sunnah Imam Ahmad hal 193, dengan Syarh Al-Rajhi ]

2- Bagaimana pula dengan anak kecil yang belum akil baligh dan tidak ditaklifkan dengan sesuatu?. Baik, di sini perlu dibezakan hukum anak-anak orang islam di syurga atau neraka itu isu yang berbeza, isunya di sini bolehkah kita memastikan seseorang dengan syurga atau neraka dengan kalimah yang jazam seperti dia “Anak Syurga”. Perhatikan!

3- Suatu ketika Nabi ﷺ dijemput untuk menziarahi jenazah bayi seorang Ansar yang meninggal dunia maka Ummul Mukminin Aisyah r.a mengatakan:

يا رسول الله طوبى له عصفور من عصافير الجنة لَمْ يَعْمَلِ السُّوءَ وَلَمْ يُدْرِكْهُ

” Wahai Rasulullah, beruntunglah baginya, dia akan menjadi burung dari burung-burung syurga, dia tidak melakukan keburukan dan tidak sempat dinodai dengannya “.

Lalu Nabi ﷺ bersabda:

أَوَغَيْرَ ذَلِكِ يَا عَائِشَةُ، إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ لِلْجَنَّةِ أَهْلًا، خَلَقَهُمْ لَهَا وَهُمْ فِي أَصْلَابِ آبَائِهِمْ، وَخَلَقَ لِلنَّارِ أَهْلًا، خَلَقَهُمْ لَهَا وَهُمْ فِي أَصْلَابِ آبَائِهِمْ

Adakah selain dari hal tersebut wahai Aisyah ?, sesungguhnya Allah telah mencipta bagi syurga itu penghuninya, Allah mencipta mereka untuknya sedangkan mereka masih berada dalam tulang sulbi bapa-bapa mereka, dan Allah mencipta untuk neraka ada penghuninya, Allah telah mencipta mereka sedangkan mereka masih berada dalam tulang sulbi bapa-bapa mereka.

[ Sahih Muslim, Kitab Al-Qadar, Bab makna setiap anak baru lahir, lahir dalam keadaan fitrah, no:2662 ]

4- Imam Muslim meletakkan hadis ini dalam Kitab Al-Qadar, munsabahnya dengan hadis sangat jelas, takdir termasuk rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Termasuklah takdir tentang penciptaan dan penetapan masuknya seseorang ke dalam syurga atau neraka. Termasuk martabat beriman kepada Allah adalah beriman dengan ilmu Allah. Siapa yang mendakwa secara pasti seseorang itu ahli syurga atau neraka maka dia telah mendakwa sesuatu tanpa ilmu bahkan melampaui ilmu Allah.

Antara hujah ulama yang menyebutkan Khadir ialah Nabi kerana beliau diberikan pengetahuan oleh Allah tentang takdir ketetapan ghulam (anak kecil) yang dibunuhnya itu yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s. Nabi ﷺ bersabda:

الغلامُ الذي قتله الخَضِرُ طُبِع كافرًا

Anak kecil yang dibunuh oleh Khadir telah ditulis (ditetapkan dalam takdir Allah) akan menjadi kafir.

[ Al-Sunnah Ibnu Abi ‘Ashim no:194, lihat juga Zilal Al-Jannah ]

Hal ini menunjukkan tiada siapa dapat mendakwa dalam urusan ghaib kecuali dia ialah Nabi. Ketetapan untuk seseorang itu penghuni syurga atau neraka termasuk urusan ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT.

 

 

5- Kata Imam Ibnu Hibban rahimahullah:

أراد النبي ﷺ بقوله هذا: ترك التزكية لأحد مات على الإسلام، ولئلا يُشهد بالجنة لأحد، وإن عرف منه إتيان الطاعات، والانتهاء عن المجزومات، ليكون القوم أحرص على الخير، وأخوف من الرب، لا أن الصبي الطفل من المسلمين يخاف عليه النار

Nabi ﷺ memaksudkan teguran ini iaitu meninggalkan perbuatan tazkiah (memuji dan menyucikan) seseorang yang mati di atas islam agar tidak disaksikan (dengan kepastian) kepada seseorang dengan syurga, walaupun diketahui darinya amalan ketaatan, dan berhenti daripada kepastian-kepastian supaya kaum (muslimin) lebih bersemangat dalam kebaikan, dan lebih takutkan Tuhan, bukan kerana anak kecil di kalangan muslimin itu ditakuti keatasnya neraka.

[ Sahih Ibnu Hibban 1/349 ]

Kata Al-‘Allamah Al-Athiyubi rahimahullah:

ومنها: عدم القطع لأحد بالجنة ولو صغيرا، تأدبا مع الله تعالى فإنه الذي يعلم من هو أهل الجنة.

” Antara faedahnya: tidak memutuskan (secara pasti) kepada sesiapa pun dengan (kepastian) syurga walaupun anak kecil sebagai bentuk menjaga adab terhadap Allah Ta’ala kerana sesungguhnya Dia sahaja yang mengetahui siapakah ahli syurga..”

[ Al-Bahru Al-Muhit Al-Tsajaaj 41/529 ]

6- Ungkapan menyebut seorang anak kecil dengan “anak syurga” tidak termasuk dalam ungkapan doa, ia lebih membawa maksud kepastian. Ini termasuk dalam tazkiyah nafs (menganggap diri sebagai suci) yang dilarang Allah. Firman Allah SWT:

فَلَا تُزَكُّوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰۤ

Maka janganlah kamu memuji dirimu sendiri (menganggap bahawa kamu suci dari dosa). Dialah yang lebih mengetahui orang yang bertakwa. [ An-Najm:32 ]

Jika ditanya, ungkapan tersebut bukan untuk menyucikan sesiapa, tetapi lebih tertuju kepada anak kecil yang istimewa dan memang mereka suci dan tiada dosa. Dimana wajah kaitan dengan larangan dalam ayat di atas?

Jawapannya: Tetap tidak boleh walaupun kita akui anak kecil itu tiada dosa, berdasarkan hadis Aisyah dalam Sahih Muslim di atas. Wajah kaitan dengan larangan dalam ayat di atas jelas, jika kita mengungkapkan anak kita sebagai ” anak syurga” kita secara tidak langsung telah menjazamkan (memastikan) diri kita atau ibu bapa anak kecil itu juga sebagai ahli syurga. Kerana anak-anak kecil akan mengikuti ibu bapanya di akhirat berdasarkan firman Allah SWT:

وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتۡهُمۡ ذُرِّیَّتُهُم بِإِیمَـٰنٍ أَلۡحَقۡنَا بِهِمۡ ذُرِّیَّتَهُمۡ

Dan orang-oran beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) [ At-Tur:21 ]

Kata Al-‘Allamah Bin Baz rahimahullah:

فلا يُشهد لأحد بالجنة والنار ولو طفلًا، ولا يقال هذا من أهل الجنة قطعًا؛ لأنه لا يدري عن حال والديه، والأطفال تُبع لآبائهم.

Maka tidak boleh disaksikan (dengan kepastian) bagi seseorang dengan syurga dan neraka walaupun anak kecil, tidak boleh diungkapkan dia ini ahli syurga secara pasti, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui keadaan kedua orang tuanya, sedangkan anak-anak kecil akan mengikuti ibu bapa mereka.

[ Rujuk: https://binbaz.org.sa/fatwas/19902/لا-يشهد-لاحد-بجنة-او-بنار-الا-من-شهد-له-الرسول-صلى-الله-عليه-وسلم ]

7- Jika kita sayangkan anak kita, atau mana-mana anak kecil sama ada anak yang normal, kurang upaya atau anak istimewa maka berdoalah kebaikan untuk mereka, didiklah mereka dengan baik dan kasihilah mereka. Doakan semoga Allah masukkan ibu bapa dan anaknya ke dalam syurga, dalam masa yang sama jangan disebabkan sentimen emosi belas kasihan kita tersebut melalaikan kita dari adab kita terhadap Allah SWT.

Semoga Allah memasukkan kita dan, anak-anak kaum muslimin dan di kalangan mereka yang telah meninggal dunia ke dalam syurgaNya.

Wallahu’alam

 


Sumber : Ust. Mohd Fashan

Back To Top