skip to Main Content

 

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada satu kemusykilan. Saya terdengar sendiri imam ketika solat isyak, selepas membaca Surah Al-Fatihah atau secara tepatnya selepas dia menyebut ولا الضالّين dia terus membaca doa اللهم اغفر لي ولوالديّ kemudian baru dia menyebut amin. Boleh ke baca doa begitu di dalam solat?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat merupakan perkara yang paling utama bagi seseorang muslim. Ia adalah soalan pertama yang akan disoal oleh Allah SWT. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمُ الصَّلاَةُ ، قَالَ يَقُولُ رَبُّنَا عَزَّ وَجَلَّ لِمَلاَئِكَتِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ : انْظُرُوا فِى صَلاَةِ عَبْدِى أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا؟ فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةً كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً ، وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا قَالَ : انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِى مِنْ تَطَوُّعٍ ، فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ قَالَ : أَتِمُّوا لِعَبْدِى فَرِيضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ. ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكُمْ

Maksudnya : “Amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah terhadap manusia pada hari kiamat kelak adalah solat. Baginda SAW bersabda : Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada para malaikat-Nya dan Dia Maha Mengetahui : Lihatlah kepada solat hamba-Ku adakah dia telah menyempurnakannya atau mengurangkannya?. Jika ianya sempurna maka tuliskan baginya kesempurnaan. Jika ada kekurangan di dalam solatnya Allah berfirman : Lihatlah kepada hambaku jika dia melakukan solat sunat. Jika dia melakukan solat sunat. Sempurnakan solat fardu hamba-Ku dengan ditampung oleh solat sunat. Kemudian barulah amalan lain dihisab.”

Riwayat Al-Baihaqi (4169) di dalam Al-Sunan Al-Kubra

Al-Munawi menjelaskan yang hadis ini memberi isyarat betapa besarnya perintah solat dan juga antara amalan yang perlu dititik beratkan. Nabi SAW apabila seseorang memeluk islam, perkara pertama yang akan diajarkan oleh Baginda adalah solat. Ini kerana Baginda melakukannya berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah dengan melihat bahawa disebaliknya terdapat hikmah ilahi. Ini menjadikan bahawa solat perlu menjadi keutamaan dan perlu diambil perhatian oleh orang islam. Tidak ada sebab untuk tidak menunaikan solat. (Rujuk Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 8/46).

Hadis ini secara langsung memberikan kita kefahaman bahawa solat adalah keutamaan yang tidak boleh dicuaikan apatahlagi diabaikan. Dalam apa juga keadaan solat perlu ditunaikan dan disempurnakan.

Begitu juga dengan doa, ia adalah satu bentuk ibadah yang mengungkap satu pengharapan seorang hamba kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِى أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Sesungguhnya doa adalah salah satu ibadah. Kemudian Baginda membaca “ Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaku maka akan aku perkenankan.”[1]

 

 

Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan, kami ingin menjelaskan bahawa di dalam solat terdapat beberapa tempat dan keadaan yang diharuskan bahkan disunatkan untuk berdoa. Ianya terbahagi kepada dua jenis :

Tempat atau keadaan di dalam solat yang mana ada dalil yang mengkhususkan bahawa sunat membaca doa pada tempat atau keadaan tersebut. Ianya disunatkan untuk memanjangkan doa dengan tiada had kadar panjang. Di antaranya ialah :

 1. Di dalam sujud. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya : “ Keadaan hamba yang paling hampir dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud. Maka perbanyakkanlah doa.

Riwayat Muslim (744)

2Selepas tasyahhud akhir. Ini disokong oleh satu riwayat daripada Abdullah Bin Mas’ud. Beliau berkata :

كُنَّا نَقُولُ فِى الصَّلاَةِ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ السَّلاَمُ عَلَى فُلاَنٍ. فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ « إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ فَإِذَا قَعَدَ أَحَدُكُمْ فِى الصَّلاَةِ فَلْيَقُلِ التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِىُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ فَإِذَا قَالَهَا أَصَابَتْ كُلَّ عَبْدٍ لِلَّهِ صَالِحٍ فِى السَّمَاءِ وَالأَرْضِ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الْمَسْأَلَةِ مَا شَاءَ

Maksudnya : “Kami pernah berkata di dalam solat yang diimami oleh Nabi SAW : Salam sejahtera ke atas Allah dan salam sejahtera ke atas fulan. Lantas pada suatu hari, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Allah bersifat dengan sifat Al-Salam. Jika kalian duduk (duduk tahiyat) di dalam solat maka sebutlah : Penghormatan dan doa yang baik hanya kerana Engkau. Salam sejahtera ke atas engkau wahai Nabi. Dan juga limpahan rahmat dan berkat-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan juga ke atas hamba Allah yang soleh. Jika dia kata yang demikian maka ianya akan menimpa ke pada semua hamba Allah di langit dan bumi. Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Kemudian dia boleh minta apa sahaja yang dia mahu.

Riwayat Muslim (402)

3Qunut di dalam solat sunat witir. Ini berdasarkan kepada kenyataan yang dinyatakan oleh cucu Baginda Nabi SAW iaitu Hasan Bin Ali R.A. Beliau berkata :

عَلَّمَنِي جَدِّي رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي قُنُوتِ الْوِتْرِ : اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ , وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ ، سُبْحَانَكَ رَبَّنَا تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ

Maksudnya : Datuk aku iaitu Rasulullah SAW mengajarkan aku beberapa kalimat yang au sebutkan di dalam qunut witir. Kalimat (doa) tersebut ialah Wahai Allah berikan hidayah kepada aku sebagainya orang yang telah Engkau berikan hidayah, berikan aku kesihatan sebagaimana orang yang telah Engkau berikan kesihatan,bantulah aku sebagaimana orang yang telah Engkau bantu,peliharalah aku daripada keburukan yang telah Engkau tetapkan, berkatilah aku terhadap apa yang telah Engkau berikan. Sesungguhnya Engkau yang menetapkan dan tiada apa yang mengatasi Engkau. Sesungguhnya tidak akan hina hamba yang patuh kepada Engkau. Maha suci Engkau Wahai Tuhan kami. Engkau Maha Suci dan Maha Tinggi.”

Riwayat Ibnu Majah (1168)

Ada doa-doa yang dibaca di beberapa tempat di dalam solat. Namun ianya tidak dipanjangkan dan hanya dibaca dengan beberapa doa ma’thur yang pendek. Di antaranya :

1Doa istiftah. Ianya dibaca sejurus selepas takbiratul ihram.

2Ketika rukuk dan sujud. Di dalam satu riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.anha bahawa beliau berkata :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya : “ Nabi SAW banyak menyebut di dalam rukuk dan sujud Baginda doa : سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ( Maha Suci Engkau Ya Allah, Tuhan kami. Dengan pujian kami untuk Engkau Ya Allah, ampunkan aku).”

Riwayat Al-Bukhari (817)

3Selepas bangkit daripada rukuk.

4Di antara dua sujud. Ibnu Abbas berkata :

كَانَ يَقُولُ بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي

Maksudnya : “Baginda menyebut di antara dua sujud اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي (Ya Allah,ampunkan aku, rahmati aku, gantikanlah aku yang lebih baik, berikan hidayah kepadaku dan berikanlah rezeki kepada aku.”

Riwayat Al-Tirmizi (284)

Inilah jenis-jenis doa yang disunatkan untuk dibaca pada beberapa tempat di dalam solat. Ada doa yang ma’thur dan ada yang digalakkan untuk membaca apa sahaja doa.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, pada asasnya selepas daripada bacaan Al-Fatihah, disunatkan untuk membaca mana-mana surah atau ayat Al-Quran. Ini berdasarkan kenyataan daripada Abu Hurairah R.A. Beliau berkata :

فَمَا أَسْمَعَنَا النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى مِنَّا أَخْفَيْنَاهُ مِنْكُمْ وَمَنْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ فَقَدْ أَجْزَأَتْ عَنْهُ وَمَنْ زَادَ فَهُوَ أَفْضَلُ

Maksudnya : “Apa yang kami dengar dari Nabi kami akan perdengarkan kepada kalian dan apa yang Baginda baca secara perlahan, kami baca secara perlahan. Sesiapa yang membaca Ummul Kitab (Surah Al-Fatihah) maka sah (solatnya). Sesiapa yang menambah maka ia lebih baik.

Riwayat Muslim (910)

 

 

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa membaca surah selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyah atau sirriyah. (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ ,1/142).

Ataupun menyebut amin bagi yang solat berjemaah. Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sunat untuk menyebut amin selepas selesai membaca Al-Fatihah bersama imam. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/235).

Namun jika seseorang menyebut apa-apa doa selepas daripada Al-Fatihah ianya tidaklah membatalkan solat. Ini kerana ianya dianggap sebagai zikir yang harus. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah Bin Al-Yaman. Kata beliau :

إِذَا مَرَّ بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَإِذَا مَرَّ بِسُؤَالٍ سَأَلَ وَإِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ

Maksudnya : “Nabi SAW jika membaca ayat yang ada suruhan bertasbih, Baginda akan bertasbih. Jika ada ayat yang memohon agar meminta Baginda akan meminta.Dan jika lalu pada ayat taawuz (minta perlindungan), Baginda akan bertaawwuz.”

Riwayat Muslim (1291)

Ibnu Naqib Al-Misri Al-Syafi’i menyebut bahawa solat tidak terbatal dengan zikir. Akan tetapi terbatal jika doa yang disebut ditujukan kepada seseorang. Seperti apabila seseorang bersin dia menyebut ‘semoga Allah merahmati kamu’ (رحمك الله).Ini kerana ianya membawa makna bercakap-cakap di dalam solat. Akan tetapi jika doa itu menggunakan sighah ghaib maka ianya tidak membatalkan solat. (Tanwir Al-Masalik Bi Syarh Wa Adillah Umdah Al-Salik Wa ‘Uddah Al-Nasik,1/233).

Oleh kerana itu, berdoa dengan apa-apa doa seperti doa اللهم اغفر لي ولوالدي yang disebutkan oleh saudara penyoal ada diharuskan. Akan tetapi, sebaiknya berdoalah di tempat-tempat di dalam solat yang disunatkan untuk berdoa. Ini lebih selamat dan jalan keluar dari khilaf. Tambahan pula, perbuatan membaca doa sejurus selepas ولا الضالين adalah khilaful awla. Ini kerana, selepas daripada itu disunatkan untuk menyebut amin berdasarkan riwayat-riwayat hadis.

Semoga Allah memberikan kefahaman agama kepada kita semua. Wallahu’alam.

[1] Surah Ghafir : 60

 

Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3728-irsyad-al-fatwa-siri-ke-323-doa-selepas-membaca-al-fatihah-di-dalam-solat

Back To Top