skip to Main Content

 

Soalan

Salam Dato’ Seri Mufti, saya sering dengar orang sebut tentang ayat seribu dinar. Boleh terangkan kepada saya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Kami bawakan di sini beberapa pandangan ulama tafsir berkaitan ayat seribu dinar ayat 2-3 dalam surah Al-Talaq. Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

                                                                                                                        (Surah Al-Talaq : 2-3)

Secara umumnya, menurut ulama tafsir Imam Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim As-Tha’labi Rahimahullahu Taala di dalam kitabnya الكشف والبيان عن تفسير القرآن menyebut bahawa surah ini merupakan ayat Madaniah, mempunyai 61 huruf, 247 kalimah dan 12 ayat. (Lihat al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran9/331)

Beliau juga menyebut di dalam kitabnya akan kelebihan membaca surah ini, daripada Abi Kaab berkata Nabi ﷺ bersabda:

من قرأ سورة يا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقْتُمُ النِّساءَ مات على سنّة رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah يا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقْتُمُ النِّساء maka seseorang itu akan meninggal dunia di atas Sunnah Nabi ﷺ(Lihat Majma’ Al-Bayan10/36)

Hadis ini terdapat dalam kitab al-Amali al-Khamisiyah oleh al-Syajari. Pada sanadnya ada tokoh yang bernama Yusuf bin ‘Atiyyah al-Soffar yang dikatakan pendusta hadis. Tetapi sebahagian ulama yang lain mengatakan hadis ini amat lemah kerana terdapatnya Sulaim al-Tamimi seperti yang disebut dalam kitab al-Wasit fi Tafsir al-Quran al-Majid.

 

 

Pandangan Ulama Tentang Maksud Ayat Ini

Mengenai ayat di dalam surah ini yang kami nyatakan di atas yang dikenali dikalangan masyarakat awam khususnya umat di Malaysia sebagai ayat seribu dinar. Terlebih dahulu kami jelaskan beberapa pandangan Ulama berkaitan maksud ayat ini.

 

Menurut Imam Al- Tobari Rahimahulahu Taala di dalam kitab Tafsir Al-Tobari (23/43-47) menyatakan daripada Masruq bin Abdillah:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: المخرج أن يعلم أن الله تبارك وتعالى لو شاء أعطاه وإن شاء منعه، (وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ قال: من حيث لا يدري

Maksudnya: (Firman Allah SWT) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, iaitu jalan yang diketahui Allah Taala jika sekiranya ia menghendaki sesuatu maka ia akan berikan dan ia juga akan menegahnya dan firman Allah Taala yang berbunyi dan akan diberikan rezeki dari jalan yang yang tidak disangka-sangkanya : Maknanya dari jalan yang tidak diketahuinya.

 

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma:

قوله: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا) يقول: نجاته من كل كرب في الدنيا والآخرة

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat.

 

Daripada Rabi’ bin Haitham Rahimahullah:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من كلّ شيء ضاق على الناس

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya jalan daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia.

 

Daripada Ikrimah Rahimahullah:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من طلق كما أمره الله يجعل له مخرجًا

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya barangsiapa yang menceraikan istrinya seperti mana yang telah ditetapkan dan diperintahkann Allah Taala maka bginya jalan keluar sama ada ia diberikan kemudahan untuk merujuk isterinya kembali dalam tempoh iddah ataupun memudahkn uruannyaia kembali kepada isterinya dengan mahar dan akad nikah yang baru selepas daripada berakhirnya iddah isteri (Ini bagi mereka yang menceraikan isteri talak satu dan dua)

 

Daripada al-Suddi Rahimahullah:

في قوله: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا) قال: يطلق للسُّنة، ويراجع للسُّنة؛

Maksudnya: Pada mentafsirkan (Firman Allah Taala) “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya barangsiapa yang menceraikan isterinya secara sunnah dan merujuk isterinya juga secara sunnah.

Sebab turun ayat ini seperti dinukilkan:

زعم أن رجلا من أصحاب النبيّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم يقال له عوف الأشجعيّ، كان له ابن، وأن المشركين أسروه، فكان فيهم، فكان أبوه يأتي النبيّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم، فيشكوا إليه مكان ابنه، وحالته التي هو بها وحاجته، فكان رسول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم يأمره بالصبر ويقول له: إن الله سيجعل له مخرجا، فلم يلبث بعد ذلك إلا يسيرًا إذا انفلت ابنه من أيدي العدوّ، فمرّ بغنم من أغنام العدوّ فاستاقها، فجاء بها إلى أبيه، وجاء معه بغنًى قد أصابه من الغنم، فنزلت هذه الآية: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki daripada sahabat Rasulullah ﷺ yang bernama Auf bin Al-Asyjai’ mempunyai seorang anak lelaki dan kaum musyrikin menawan anaknya. Maka ayahnya menjumpai Rasulullah ﷺ dan mengadu hal tersebut kepada baginda ﷺ berkaitan anaknya yang ditawan musuh dan keadaan apa yang dihajatinya. Maka Rasulullah ﷺ menyurunya agar bersabar terhadap ujian yang menimpa dan Baginda ﷺ berkata kepadanya sesungguhnya Allah Taala akan memberikannya jalan keluar. Maka tidak lama selepas itu maka terlepaslah anaknya daripada tangan musuh lalu anaknya membawa beberapa ekor kambing musuh berserta harta di atasnya lalu ia bawakan kepada bapanya. Maka turunlah ayat ini.

 

Daripada Qatadah Rahimahullah:

يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من شُبُهَات الأمور، والكرب عند الموت (وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ) : من حيث لا يرجو ولا يؤمل

Maksudnya: Firman Allah Taala diberikan baginya jalan keluar: maknanya jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesuahan ketika mati dan firman Allah Taala diberikan baginya rezeki daripada yang tidak disangka-sangka maknaya daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan.

 

وقوله: (قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا) يقول تعالى ذكره: قد جعل الله لكلّ شيء من الطلاق والعدّة وغير ذلك حدًا وأجلا وقدرًا يُنتهى إليه. وبنحو الذي قلنا في ذلك قال أهل التأويل.

Firman Allah Taala maknanya sesungguhnya Allah Taala menjadikan sesuatu daripada Talak, iddah dan selain daripadanya mempunyai sesuatu had dan tempoh serta kadar pengakhirannya.

Demikianlah keterangan ulama-ulama tafsir berkaitan ayat tersebut.

 

Menurut Tafsir Imam Fakhruddin Ar-Razi Rahimahullahu di dalam kitab tafsir Ar-Razi (30/562):

 

Daripada Al-kalbi, beliau berkata:

وَمَنْ يَصْبِرْ عَلَى الْمُصِيبَةِ يَجْعَلِ اللَّه لَهُ مَخْرَجًا مِنَ النَّارِ إِلَى الْجَنَّةِ، وَقَرَأَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَخْرَجًا مِنْ شُبُهَاتِ الدُّنْيَا وَمِنْ غَمَرَاتِ الْمَوْتِ، وَمِنْ شَدَائِدِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang sabar di atas sesuatu musibah yang berlaku maka dijadikan Allah Taala jalan keluar daripada neraka ke syurga, dan Nabi membaca ayat ini maka maknanya jalan keluar daripada syubhat dunia dan kedahsyatan mati serta daripada kesengsaraan hari akhirat.

Kebanyakan Ulama tafsir menyebut ayat ini dan selepasnya diturunkan kepada seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Auf bin Malik Asyjai’. Anaknya telah ditawan oleh musuh maka beliau menemui Nabi ﷺ dan menceritakan keadaan anaknya yang ditawan dan mengadu kesusahan yang dihadapinya maka baginda ﷺ bersabda Bertaqwalah kepada Allah dan bersabar dab perbanyakkan ucapan لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّه maka beliau pun terus melakukannya tatkala ketika mana beliau berada di rumah lalu telah datang anaknya. Anaknya telah berjaya meloloskan diri daripada musuh dengan mambawa bersamanya unta lalu dibawakan kepada ayahnya. Telah berkata pengarang Kitab Al-Kasyaf ketika mana beliau berada di rumah anaknya tiba-tiba datang anaknya lalu mengetuk pintu rumah dan membawa bersama-samanya 100 ekor unta disebabkan musuh telah terlupa akan anaknya. Anaknya berjaya melarikan diri membawa bersama-sama dengan harta yang bernilai.

 

Menurut tasiran Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala di dalam kitab Jami’ Li Ahkam Al-Quran (18/160-162):

Daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ سُئِلَ عَمَّنْ طَلَّقَ ثَلَاثًا أَوْ أَلْفًا هَلْ لَهُ مِنْ مَخْرَجٍ؟ فَتَلَاهَا

Maksudnya: Bahawa apabila ditanya siapa yang mencerai dengan talaq tiga atau seribu adakah baginya jalan keluar, lantas Nabi SAW membaca ayat ini.

 

 

Daripada Ibnu Abbas, al-Sya’bi dan al-Dahhak berkata:

هَذَا فِي الطَّلَاقِ خَاصَّةً، أَيْ مَنْ طَلَّقَ كَمَا أَمَرَهُ اللَّهُ يَكُنْ لَهُ مَخْرَجٌ فِي الرَّجْعَةِ فِي الْعِدَّةِ

Maksudnya: Ayat ini merupakan khusus untuk talak iaitu sesiapa yang menceraikan isteri seperti mana yang diperintahkan Allah Taala maka baginya jalan keluar iaitu jalan untuk merujuk isterinya kembali ketika isteri di dalam iddah.

 

Daripada Hussain bin Fadhl berkata:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فِي أَدَاءِ الْفَرَائِضِ، يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً من العقوبة. (وَيَرْزُقْهُ) الثواب مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ أَيْ يُبَارِكْ لَهُ فِيمَا آتَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah pada menunaikan segala kewajipan Fardhu maka akan diberikannnya jalan keluar daripada segala balasan siksa dan diberikan rezeki iaitu pahala daripada yang tidak disangka-sangka iaitu Alah Taala akan memberkati setiap apa yang diberikan kepadanya.

 

Daripada Sahl bin Abdillah berkata:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فِي اتِّبَاعِ السُّنَّةِ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً مِنْ عُقُوبَةِ أَهْلِ الْبِدَعِ

Maksudnya: Barangsiapayang bertqwa kepada Allah pada mengikut sunnah Nabi SAW maka akan diberikannya jalan keluar daripada balasan siksa ahli bidaah.

 

Daripada umar bin Usman As-Sodafi berkata:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فَيَقِفُ عِنْدَ حُدُودِهِ وَيَجْتَنِبُ مَعَاصِيَهُ يُخْرِجْهُ مِنَ الْحَرَامِ إِلَى الْحَلَالِ، وَمِنَ الضِّيقِ إِلَى السَّعَةِ، وَمِنَ النَّارِ إِلَى الْجَنَّةِ. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ مِنْ حَيْثُ لَا يَرْجُو

Maksudnya: Barangsiapa yang bertqwa kepada Allah Taala dan menjaga segala batas-batas hukumnya dan menjauhi segala perkara maksiat maka akan dikeluarkan baginya darpad yang haram kepada yang halal, daripada kesempitan kepada kesenangan, daripada neraka kepada syurga. Lalu diberikan rezeki daripada yang tidak disangka-sangka yang mana ia tidak harapkan.

 

Sufyan Ibn ‘Uyainah berkata:

هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: Ia adalah keberkatan di dalam rezeki.

 

Ibnu Mas’ud Dan Al-Masruq telah menafsirkan ayat ini secara umum. Abu Dzar berkata Nabi ﷺ telah bersabda :

إِنِّي لَأَعْلَمُ آيَةً لَوْ أَخَذَ بِهَا النَّاسُ لَكَفَتْهُمْ- ثُمَّ تَلَا- وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ . فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا وَيُعِيدُهَا

Maksudnya: Sesungguhnya aku akan mengajarkanmu satu ayat apabila diamalkan ayat tersebut maka ia sudah mencukupi bagi mereka, kemudian Nabi ﷺ membaca وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ Maka senantiasalah aku (Abu Dzar) mengulangi dan berteruran membaca dan mengamalkan ayat tersebut.

 

Kebanyakan Ulama Tafsir seperti mana yang disebut Imam At-thalabi mengatakan ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Auf bin Malik Ashjai’. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas beliau datang kepada Nabi ﷺ lalu menceritakan keadaan anaknya yang ditawan musuh. Beliau berkata Ya Rasulallah ﷺ sesungguhnya anakku ditawan musuh dan ibunya amat berdukacita dan sedih. Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah ayat ini diturunkan kepada Auf bin malik Ashjai’ yang mana pihak musuh musyrikin telah menawan anaknya yang bernama Salim. Lalu beliau telah datang menemui Rasulullah ﷺ untuk mengadu kesusahan dan penderitaan yang dihadapinya. Beliau berkata Ya Rasulallah ﷺ sesunguhnya anak ku telah ditawan oleh musuh dan ibunya amat sedih dan berdukacita. Apakah yang patut engkau suruh aku lakukan ya Rasulallah ﷺ .Maka Rasulullah ﷺ bersabda bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah dan aku memerintahkanmu dan isterimu untuk memperbanyakkan ucapan لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ)) . Lalu beliau pun pulang ke rumahnya dan berkata kepada isterinya sesungguhnya Rasulullah menyuruhku dan engkau untuk memperbanyakkan ucapan لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ)) .Maka isterinya berkata, itu adalah sebaik-baik perkara yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya. Mereka berdua pun mengamalkan apa yang diperinyahkan oleh Nabi ﷺ. Tidak lama daripada itu maka anaknya dapat meloloskan diri daripada musuh dan membawa bersamanya kambing-kambing musuh musyrikin lalu dibawa kepada ayahnya berjumlah 4000 ekor kambing. Maka turunlah ayat ini. Lalu Nabi ﷺ memberikan keizinan bahawa kesemua binatang tersebut menjadi hak kepunyaan mereka.

Dalam riwayat yang lain mengatakan telah dibawa kepada bapanya unta berserta harta. Mereka ini adalah dikalangan fakir miskin. Berkata Al-kalbi sebanyak 50 ekor unta.

Dalam riwayat yang lain menyatakan anaknya telah meloloskan diri daripada tahanan musuh lalu menunggang bersamanya binatang unta kaum tersebut lalu dalam perjalanan ia membawa kesemua binatang unta tersebut dan ia pun membawa balik kepada ayahnya

Imam Al Muqatil berkata apabila ia telah mendapat kambing dan harta sesiinya lalu ia membawa kepada bapanya. Lalu bapnya bertanya kepada Rasulullah ﷺ adakah halal untuk dimakan apa yang telah dibawa oleh anaknya itu. Lalu Rasulullah ﷺ menjawab ya halal untuk dimakan. Lalu turunlah ayat وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

 

Kesimpulan

Setelah meneliti beberapa tafsiran para ulama berkaitan ayat ini, kami mendapati bahawa:

  • Setiap ayat al-Quran mempunyai kelebihan yang tertentu. Konsep taqwa dan tawakkal yang terdapat di dalam ayat ini membawa pengertian mendalam dan perlu diamal serta dihayati bersama.
  • Ayat ini bukanlah semata-mata membacanya akan mendapat ganjaran pahala seribu dinar bahkan maksud sebenarnya ayat ini adalah dari sudut amalan yang disertai dengan taqwa serta tawakal. Bahkan Allah SWT akan mengurniakan baginya ganjaran yang lebih daripada seribu dinar jika setiap amalan itu disertakan dengan taqwa, berdasarkan firman Allah SWT:

واللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

MaksudnyaAllah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

(Surah Al-Baqarah:261)

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dan penghayatan bersama.

 

Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2819-irsyad-al-fatwa-273-tafsir-ayat-seribu-dinar

Back To Top