Apa benda zikir hawqalah ni. Macam pelik je.
Hawqalah ialah zikir seperti berikut:
لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
‘Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah’
Imam Ibn Athir menerangkan bahawa perkataan Hawqalah (الحوقلة) berasal daripada huruf-huruf yang ada dalam lafaz zikir ini. Ia jua dipanggil Hawlaqah (الحولقة). Ia sebagaimana basmalah (البسملة) daripada lafaz بسم الله.
Beliau jua menerangkan bahawa zikir ini menzahirkan kefakiran@perlunya seseorang hamba kepada Allah dengan memohon pertolongannya dalam urusan-urusannya. Ini merupakan hakikat penghambaan kepada Allah. Dikatakan jua ia bermaksud: Tidak ada daya daripada maksiat kepada Allah kecuali dengan perlindungan Allah, dan tiada kekuatan untuk mentaati Allah kecuali dengan pertolongan Allah. [Lihat Jami’ al-Usul Fi Ahadith al-Rasul, 4:397].
Berikut merupakan sebahagian hadis-hadis berkaitan zikir ini:
1- Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
Wahai Abdullah bin Qais. Sebutlah ‘Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah’,
فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ ”
Sesungguhnya ia merupakan harta karun di syurga.
[Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, no: 7386].
Terdapat riwayat daripada sahabat-sahabat lain menerangkan fadhilat yang sama.
2-
عَنْ قَيْسِ بْنِ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ، أَنَّ أَبَاهُ، دَفَعَهُ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم يَخْدُمُهُ .
Daripada Qays bin Sa’d bin ‘Ubadah bahawa ayahnya menyerahkannya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk berkhidmat kepada baginda.
قَالَ فَمَرَّ بِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقَدْ صَلَّيْتُ فَضَرَبَنِي بِرِجْلِهِ
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berhampiran dengan ku, dan aku baru selesai mendirikan solat, lalu baginda menyentuhku dengan kakinya.
وَقَالَ ” أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ”
Baginda berkata: Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu pintu daripada pintu-pintu syurga?
. قُلْتُ بَلَى . قَالَ ” لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ”
Aku menjawab: Pasti mahu! Baginda berkata:’Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah’. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Da’awat, no: 3581, At-Tirmizi berkata: Hasan Sahih Gharib].
3-
Daripada ‘Ubadah bin Somit radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ فَقَالَ
Sesiapa yang bangun pada waktu malam lalu membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ.
Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah yang esa tiada sekutu baginya, baginya pemerintahan, baginya segala pujian. Dia berkuasa atas segala sesuatu.
الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.
ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي. أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ ”.
Kemudian dia menyebut: Ya Allah ampuni aku, atau dia berdoa. Maka doanya dimustajabkan. Seandainya dia berwudhu dan mendirikan solat, maka solatnya diterima.
[Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, no: 1154].
4-
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
Daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“ مَنْ قَالَ – يَعْنِي إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ –
Sesiapa yang membaca ketika keluar dari rumahnya:
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .
Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.
يُقَالُ لَهُ كُفِيتَ وَوُقِيتَ . وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ ” .
Dikatakan kepadanya: Engkau telah dicukupkan dan dilindungi. Syaitan pula akan meninggalkannya. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab ad-Da’awat, no: 3426, At-Tirmizi berkata: Hasan Sahih Gharib].
5-
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“ مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ . إِلاَّ كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ ”
Tidaklah ada di atas muka bumi seseorang yang mengucapkan ‘Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tiada daya dan kuasa kecuali dengan Allah’ melainkan pasti akan diampuni dosa-dosanya walau ia sebanyak buih di lautan. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab ad-Da’awat, no: 3460, At-Tirmizi berkata: Hasan Gharib].
Semoga kita mentadabburi isi zikir ini yang akan menghasilkan perasaan rendah diri dan tawakkal kepada Allah.
Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli