
Antara faktor utama kemustajaban doa ialah شِكَايَةُ الحَالِ iaitu mengadu kepada Allah SWT akan keadaan diri semasa berdoa meminta sebarang hajat. Hakikatnya, inilah yang diamalkan oleh para Nabi semasa berdoa.
Nabi Musa A.S dalam doanya menyebut :
رب إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya : Wahai Tuhan, sesungguhnya aku amat berhajat kepada segala kebaikan yang Kau turunkan kepadaku.
Surah al-Qasas (24)
Begitu juga doa Nabi Ayyub A.S seperti firman Allah SWT :
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya : Dan Ayyub ketika dia menyeru (berdoa kepada) Tuhannya : Sesungguhnya diriku ini telah ditimpa kemudaratan. Sedang Kau adalah Tuhan yang Maha Penyayang dari kalangan yang penyayang.
Surah al-Anbiya’ (83).
Demikian juga kita dapati Nabi Yunus AS turut mengadu tentang keadaan diri baginda dalam doanya :
لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Tidak ada Tuhan melainkan-Mu, Maha Suci Kamu, sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan orang yang menzalimi diri sendiri.
Surah al-Anbiya’ (87)
Padanya kalimah tauhid, padanya tasbih, serta padanya pengiktirafan terhadap kesilapan dan kesalahan diri yang dilakukan.
Ketiga-tiga doa ini, dimustajabkan oleh Allah SWT. Hasil istiqra’ (pembacaan teliti) inilah para ulama mengatakan bahawa menyebut, mengadu, serta menceritakan keadaan diri sendiri semasa berdoa, merupakan salah satu faktor mustajabnya doa.
Faedah dari al-Syaikh Soleh Al-Munajjid hafizahullah.
Sumber : Ust Muhammad Fahmi Rusli