skip to Main Content

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Saya ingin bertanyakan satu soalan kepada Datuk, apakah hukumnya bagi seseorang itu membaca al-Quran dengan bertajwid? Adakah ia wajib? Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤

Maksudnyadan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

Surah al-Muzammil (4)

Imam al-Mawardi menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan daripadanya adalah suruhan untuk membaca ayat al-Quran mengikut aturannya dan susunannya, jangan merubah lafaz dan jangan mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal, ibarat aturan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan tersusun rapi, ini adalah apa yang dikatakan oleh Ibn Bahr. [Lihat: Tafsir al-Mawardi; 6/126].

Syeikh al-Sa’di berkata, tartil di sini memberi makna bahawa tartil al-Quran adalah dengannya dapat mentadabbur dan berfikir, dan menggerakkan hati dengannya, dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan ayat-ayatNya, dan melakukan persediaan yang sempurna keranaNya. [Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.892].

Selain itu, suruhan dan juga galakan agar membaca al-Quran dengan baik dan bertajwid boleh dilihat pada sabda Nabi Muhammad S.A.W:

وَزَيِّنُوا القُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya“Dan hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (792), [Lihat: Shahih al-Bukhari; 9/158]

Dan juga Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ”‏‏‏.‏ وَزَادَ غَيْرُهُ ‏”يَجْهَرُ بِهِ”

Maksudnya“Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran”. Sebahagian yang lain menyebut ”menyaringkannya”.

Riwayat al-Bukhari (7527)

 

 

Maksud umum yang boleh kita fahami dari kedua-dua hadith ini dan juga pada ayat al-Quran di atas, bahawa Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran agar membacanya dengan bacaan yang baik lagi elok, dan boleh juga kita fahami bahawa Islam menyuruh kita agar membaca al-Quran dengan bertajwid.

Tajwid dari sudut bahasa ialah menjadikan sesuatu itu baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/177].

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, tajwid ialah sebutan atau lafaz yang betul dan sedap didengar. Imam Ibn al-Jazari berkata:

فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا تَعَسُّفٍ وَلَا إِفْرَاطٍ وَلَا تَكَلُّفٍ

Maksudnya: Tajwid adalah perhiasan bagi tilawah (bacaan), iaitu memberikan huruf-huruf hak mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa melebih-lebih dan juga terkurang.

[Lihat: al-Nasyru fi al-Qira’at al-‘Asyr; 1/212]

Tartil dan Tajwid

Tartil dari sudut istilah ialah meraikan tempat keluarnya huruf dan menjaga tempat berhentinya, dikatakan juga bahawa tartil adalah merendahkan suara dan bersedih dengan bacaan (al-Quran). [Lihat: al-Ta’rifat; hlm.55].

Perbezaan antara tajwid dan tartil adalah tartil merupakan salah satu cara tajwid, tajwid merangkumi sifat-sifat huruf dan apa yang dimestikan pada setiap sifat tersebut, manakala tartil lebih kepada meraikan makhraj (tempat keluar) huruf dan menjaga tempat berhenti supaya tidak bercampur sebutan huruf disebabkan bacaan yang laju. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/178].

Hukum Mempelajari Ilmu Tajwid

Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah, yakni jika ada sebahagian sudah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain, namun membaca al-Quran dengan bertajwid merupakan suatu kelaziman dan kemestian, dengan kata sesiapa yang tidak menjaga tajwid ketika membacanya maka berdosalah dia. [Lihat: Fathu Rabb al-Bariyyah Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah fi ‘Ilm al-Tajwid; 1/49].

Terdapat perbezaan pandangan ulama’ terdahulu bersama ulama’ kontemporari, di mana ulama’ terdahulu mewajibkan orang Islam untuk mempelajari asas tajwid dan berdosa sekiranya meninggalkannya, dan asas tajwid ini adalah yang berkaitan dengan penjagaan huruf (dari sudut yang boleh mengubah struktur ayat dan juga maknanya) atau yang berkaitan selain darinya seperti hukum idghamidzhar dan sebagainya.

Namun, ulama’ masa kini memperincikan lebih lagi kepada wajib syar’ie dan wajib sina’ie. Wajib syar’ie di sini adalah kewajipan mempelajari asas tajwid yang jika ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna. Adapun wajib sina’ie pula adalah apa yang diwajibkan ke atas ahli ilmu tersebut untuk menyempurnakan lagi bacaan al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idghamikhfa’ dan sebagainya, dan jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/179].

Syeikh ‘Ali al-Qari berkata:

فَيَنْبَغِي أَنْ تُرَاعَى جَمِيعُ قَوَاعِدِهِمْ وُجُوبًا فِيمَا يَتَغَيَّرُ بِهِ الْمَبْنَى وَيَفْسُدُ الْمَعْنَى، وَاسْتِحْبَابًا فِيمَا يَحْسُنُ بِهِ اللَّفْظُ وَيُسْتَحْسَنُ بِهِ النُّطْقُ حَال الْأَدَاءِ.

Maksudnya: Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedahnya (makhraj huruf dan sifatnya) secara wajib pada apa yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan sunat pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya.

[Lihat: al-Minah al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah hlm.112]

Hukum Membaca al-Quran dengan Bertajwid

Imam al-Jazari menukilkan dalam matannya yang terkenal:

وَالأَخْذُ بِالتَّجْوِيدِ حَتْمٌ لازِمُ … مَنْ لَمْ يُجَوِّدِ الْقُرَآنَ آثِمُ

MaksudnyaDan mengambil (membaca) dengan tajwid adalah wajib, barangsiapa yang tidak memperelokkan al-Quran (bacaannya) maka dia berdosa.

[Lihat: al-Muqaddimah al-Jazariyyah; hlm. 11]

Ibn al-Jazari berkata ketika mensyarahkan matan bapanya:

وذلك واجب على من يقدر… لأن الله تعالى أنزل به كتابه المجيد ووصل من نبيه عليه الصلاة والسلام متواترا بالتجويد قوله: (من لم يصحح القرآن) أي من لم يصحح القرآن مع قدرته على ذلك فهو آثم عاص

Maksudnya: Kewajipan ini adalah pada mereka yang mampu,…kerana Allah S.W.T menurunkan kitabNya dan telah sampai (kepada kita) daripada NabiNya S.A.W dengan bertajwid secara mutawatir, dan pada ayat barangsiapa yang tidak membaca al-Quran dengan baik sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan telah melakukan kemaksiatan.

[Lihat: Syarh Toyyibatu al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy; hlm.35]

Ini juga kerana wujudnya sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W:

«الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ»

MaksudnyaSeorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat Muslim (798)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 6/84-85].

Penutup

Kesimpulannya, membaca al-Quran dengan bertajwid adalah wajib. Lantaran itu, bagi sesiapa yang ingin membaca al-Quran, wajib ke atasnya mempelajari ilmu tajwid yang asas dan ini bagi mengelakkan dari tersilap ketika membaca yang boleh membawa kepada perubahan lafaz dan makna sedangkan keduanya adalah kesalahan yang besar dalam pembacaan al-Quran. Ini juga berdasarkan kepada kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib.

 

 

Adapun mempelajari ilmu tajwid secara mendalam dalam bidang, maka ia merupakan fardhu kifayah. Jika ada seorang atau sebahagian dari masyarakat telah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain. Namun, jika tiada yang mempelajarinya, maka semua menanggung dosa atas sebab meninggalkan kewajipan tersebut.

Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar mempelajari ilmu tajwid agar al-Quran dapat dibaca dengan baik dan elok. Sebaiknya jadikan hadith ‘Aisyah R.A seperti yang dinyatakan di atas dijadikan sebagai sumber motivasi bagi menggalakkan diri untuk membaca al-Quran lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang berkemahiran di samping melihat juga pada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad S.A.W lain yang banyak menceritakan kelebihan dan juga faedah bagi mereka si pembaca al-Quran. Ambillah juga faedah daripada salah satu hadith Nabi S.A.W:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Riwayat al-Bukhari (5027)

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menjadikan kita tergolong dalam golongan orang yang mencintakan al-Quran, moga Allah S.W.T memberikan keringanan dan keikhlasan kepada kita dalam beribadah kepadaNya dan juga memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

Kredit : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4409-irsyad-al-fatwa-siri-ke-482-hukum-membaca-al-quran-dengan-bertajwid

Back To Top