Soalan:
Adakah tidak digalakkan membaca al-Quran sekiranya tanpa tadabbur? Hal ini kerana saya pernah dilarang membaca al-Quran kerana tidak memahami maksudnya.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebagai mukadimah kami bentangkan dalil-dalil kelebihan serta ganjaran membaca al-Quran berdasarkan beberapa riwayat berikut:
Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.
Riwayat riwayat Muslim (798)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan dua ganjaran yang diperolehi adalah daripada pembacaannya serta kepayahannya dalam membaca al-Quran.[Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (6/85)]
Daripada Uthman RA, daripada Nabi SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya.”
Hadis riwayat Bukhari: (5027)
Allah SWT akan mengurniakan kemuliaan dan kelebihan kepada mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. [Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (15/152)]. Pengajaran daripada hadis tersebut ialah umat Islam dituntut mempelajari al-Qur’an serta mengajarkannya sama ada untuk memperbetulkan bacaan,memahami isi kandungan dan beramal segala hukum hakam yang telah ditetapkan [ Rujuk Nuzhat al-Muttaqin Syarh Riyaad al-Salihin (740)]
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ
وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya :. Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.
[Hadis riwayat al-Tirmizi :2910, hadis hasan]
Tuntutan Membaca Al-Quran Dengan Tadabbur
Tadabur menurut bahasa adalah memikirkan di sebalik sesuatu akibatnya. Ia hampir dengan makna tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. [Lihat Ta’lim tadabbur al-Quran al-Karim Asalib Amaliyyah wa Marahil Manhajiyyah,(11)] Sementara, Ibn Kathir memberi makna tadabbur ialah memahami makna lafaz-lafaz serta berfikir tentang ayatnya yang merangkumi isyarat peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya mengambil pengajaran dan taat segala perintahNya.[ [ Lihat Tafsir al-Quran al-Azim (1/8)]
Matlamat al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati al-Quran sebagaimana firman-Nya:
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepdamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan ayat-ayatNya, dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.
Surah Saad (29)
Imam al-Tabari menyatakan makna ayat tersebut ialah tujuan penurunan al-Quran supaya umat Nabi Muhammad SAW mentadabbur makna ayat al-Quran serta beramal dengan segala yang telah disyariatkanNya. [al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari ( 20/79)]. Justeru, memahami isi kandungan al-Quran untuk diambil pelajaran dan diamalkan di dalam kehidupan.
Seterusnya, terdapat teguran bagi orang yang membaca al-Quran tetapi tidak berusaha memahami serta menghayati intipati al-Quran sebagaimana firman Allah swt:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?
Surah Muhammad (24)
Berdasarkan ayat tersebut dapat difahami bahawa mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. [Tafsir adhwa’ al-Bayan tafsiral-Quran bi al-Quran (7/458)]. Disebalik kefahaman ayat tersebut, dapat juga difahami bahawa sekiranya mereka membaca al-Quran dengan tadabbur, maka jiwa-jiwanya mereka akan diberikan kelapangan untuk menerima hidayah serta hikmah daripada Allah ﷻ.
Kesimpulan
Tuntasnya, berdasarkan dalil yang dikemukakan, dapat difahami bahawa membaca al-Quran tanpa memahami maksud tetap diberikan ganjaran pahala. Namun, membaca al-Quran dengan penghayatan serta memahami isi kandungannya jauh lebih baik berbanding membaca ayat al-quran tanpa memahami makna isi kandungannya. Oleh itu, umat Islam digesa untuk memahami makna serta menghayati inti pati kalamullah untuk diambil iktibar dan beramal terhadap segala perintah serta laranganNya. Tadabbur al-quran sangat dituntut agar memberi kesan kepada jiwa manusia sekaligus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Akhir kalam, marilah kita berusaha memahami kalamullah dan berdoa agar al-Quran menjadi penolong kita pada hari kiamat kelak sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ
Maksudnya : “Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa’at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).
Sahih Muslim (804)