skip to Main Content

 


1- Isu berkenaan menetapkan suara bagi Allah adalah satu cabang perbahasan berkaitan dengan penetapan sifat Kalam bagi Allah Ta’ala. Sebenarnya isu ini sudah jelas dan terang telah disepakati oleh Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dan orang-orang yang berakal bahawasanya kalam, perkataan, ucapan, hadis dan khabar dan seumpamanya jika dimutlakkan ia merangkumi lafaz dan makna sekaligus melainkan jika ada qarinah yang menunjukkan taqyid (pembatasan). Walaupun isu ini sudah jelas dan disepakati namun ia tetap diperselisihkan ahli bidaah dan pengikut hawa nafsu.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِنۡ أَحَدٌ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ یَسۡمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٌ لَّا یَعۡلَمُونَ

Dan jika seseorang dari kaum musyrikin meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar Kalamullah, kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). [ Al-Taubah:6 ]

Sabda Rasulullah ﷺ :

ألا رجل يحملني إلى قومه، فإن قريشا قد منعوني أن أبلغ كلام ربي

“ Adakah seseorang yang hendak membawaku kepada kaumnya?, kerana Quraisy menghalangku untuk menyampaikan Kalam Tuhanku “.

[ HR Al-Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasaie, Ahmad dengan sanad yang sahih ]

Kata Imam Al-Bukhari (wft:256H):

فبين النبي ﷺ أن الإبلاغ منه، وأن كلام الله من ربه.

“ Nabi ﷺ menjelaskan bahawa penyampaian itu darinya, dan Kalamullah itu dari Tuhannya “ [ Khalq Af’al al-Ibad hal 621 ]

Kata Sibawayh (wft:148H):

إجماع الناس على أن يقولوا القرآن كلام الله….فعبر لذلك عنه بالكلام الذي لا يكون إلا أصواتا تامة مفيدة.

Ijmak manusia menyatakan bahawa Al-Quran itu Kalamullah…diibaratkan hal tersebut dariNya dengan Kalam yang tiadalah ia melainkan suara-suara yang lengkap dan memberi faedah. [ Dinukil dari Lisanul ‘Arab Ibnu Manzur 1/3922 ]

Kata Ibnu Faris (wft:395H) ketika menjelaskan hakikat makna kalam:

الكاف واللام والميم أصلان أحدهما، يدل على نطق مفهم….

” Al-Kaaf, Al-laam, dan Al-Miim merujuk kepada dua asal salah satunya merujuk kepada maksud percakapan yang memberikan kefahaman…” [ Maqayiis al-Lughah 5/131 ]

Jelas menurut bahasa arab kalam nafsi (monolog) tiada ia memberikan kefahaman dan ia tidak dinamakan sebagai kalam kecuali dengan taqyidnya.

2- Imam Abu Nasr Al-Sijzi rahimahullah (wft:444H) ketika membantah golongan Asya’irah:

اعلموا- أرشدنا الله وإياكم- أنه لم يكن خلاف بين الخلق على اختلاف نِحَلهم من أول الزمان إلى الوقت الذي ظهر فيه ابن كلاب والقلانسي والصالحي والأشعري. وأقرانهم الذين يتظاهرون بالرد على المعتزلة……فالإجماع منعقد بين العقلاء على كون الكلام حرفاً وصوتاً فلما نبغ ابن كلاب وأضرابه وحاولوا الرد على المعتزلة من طريق مجرد العقل، وهم لا يخبرون أصول السنة، ولا ما كان السلف عليه، ولا يحتجون بالأخبار الواردة في ذلك زعماً منهم أنها أخبار آحاد، وهي لا توجب علم.

” Ketahuilah-semoga Allah memberi petunjuk kepada kami dan kalian- bahawasanya tidak pernah berlaku khilaf antara manusia walau berbezanya agama mereka dari awal zaman (pada zaman sahabat) sehinggalah munculnya Ibnu Kullab, Al-Qalaansi, Al-Solihi dan Al-Asy’ari dan teman-teman mereka yang memberanikan diri untuk membantah muktazilah…Ijmak telah berlaku di antara orang-orang yang berakal bahawa kalam itu adalah huruf dan suara, ketika munculnya Ibnu Kullab dan orang yang sepertinya mereka cuba untuk membantah muktazilah melalui jalan akal semata-mata, sedangkan mereka tidak mengetahui usul sunnah, tidak juga apa yang dipegang oleh salaf, mereka tidak berhujah dengan khabar-khabar yang warid dalam isu tersebut atas dakwaan mereka bahawasanya ia adalah khabar-khabar ahad, dan ia tidak mewajibkan ilmu.. [ Risalah Al-Sijzi ila Ahli Zabid hal 117-118 ]

Jelas Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (wft:728H) :

فَالْكَلَامُ ” إذَا أُطْلِقَ يَتَنَاوَلُ اللَّفْظَ وَالْمَعْنَى جَمِيعًا وَإِذَا سُمِّيَ الْمَعْنَى وَحْدَهُ كَلَامًا أَوْ اللَّفْظُ وَحْدَهُ كَلَامًا فَإِنَّمَا ذَاكَ مَعَ قَيْدٍ يَدُلُّ عَلَى ذَلِكَ كَمَا قَدْ بُسِطَ فِي غَيْرِ هَذَا الْمَوْضِعِ وَأَنَّ الْكَلَامَ عِنْدَ الْإِطْلَاقِ هُوَ اللَّفْظُ وَالْمَعْنَى جَمِيعًا وَالْقُرْآنُ وَالْحَدِيثُ مَمْلُوءٌ مِنْ آيَاتِ الْكَلَامِ لِلَّهِ تَعَالَى؛ فَكَانَ الْمَفْهُومُ مِنْ ذَلِكَ هُوَ إثْبَاتُ اللَّفْظِ وَالْمَعْنَى لِلَّهِ.

” Kalam apabila dimutlakkan ia merangkumi lafaz dan makna keseluruhannya, jika dinamakan makna secara sendirian sebagai kalam atau lafaz yang sendiri sebagai kalam maka sesungguhnya itu bersama dengan pembatasan yang menunjukkan kepada hal tersebut dan telah dibentangkan perbahasan secara panjang lebarnya di tempat yang lain, dan bahawasanya kalam itu secara mutlak ialah lafaz dan makna keseluruhannya, Al-Quran dan hadis dipenuhi dengan ayat-ayat kalam bagi Allah Ta’ala, maka adalah mafhum dari hal tersebut wajibnya mengisbatkan lafaz dan makna bagi Allah.” [ Majmuk Al-Fatawa 6/533 ]

 


3- Antara ulama yang menukilkan ijmak salafussoleh bahawa Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk ialah Imam Al-Bukhari (wft:256H) dalam Khalq Af’aal al-‘Ibad, Abu Bakr Muhammad bin Al-Husain Al-Aajuri Al-Syafi’i (wft:360H) dalam kitabnya Al-Syari’ah, Al-Hafiz Abul Qasim Hibatullah Al-Lalakaie Al-Syafi’i (418H) dalam kitabnya Syarh Usul ‘Itiqad Ahli Sunnah wal Jamaah, demikian juga Imam Abul Hasan Muhammad bin bin Abd Malik Al-Karji Al-Syafi’i rahimahullah (wft:532H)، beliau menyebutkan dalam kitabnya Al-Fusul fil Usul ‘an Al-Aimmah Al-Fuhul lebih kurang dua belas orang Imam menetapkan ijmak tersebut antaranya Imam Al-Syafi’i (204H), Malik (93H), Sufyan Al-Tsauri (161H), Ahmad bin Hanbal (241H), Sufyan bin ‘Uyainah (198H), Ibnul Mubarak (181H), Ishak bin Rahawaih (238H), Al-Bukhari (256H), Abu Zur’ah dan Abu Hatim Al-Raziyain rahimahumullah dan ramai lagi, jika ingin dinyatakan di sini semuanya akan lengahlah tangan yang menaip.

4- Kata Al-Ustaz Al-‘Allamah Syeikh Al-Syafii’yyah di Baghdad pada zamannya Abu Hamid Al-Isfarayini (wft:406H):

مذهبي ومذهب الشافعي وفقهاء الأمصار: أن القرآن كلام الله غير مخلوق، ومن قال مخلوق فهو كافر، والقرآن حمله جبريل مسموعا من الله تعالى والنبي ﷺ سمعه من جبريل، والصحابة سمعوه من النبي ﷺ وهو الذي نتلوه نحن بألسنتنا فما بين الدفتين وما في صدورنا مسموعا ومكتوبا ومحفوظا ومنقوشا كل حرف منه كالباء والتاء كله كلام الله غير مخلوق ومن قال مخلوق فهو كافر عليه لعائن الله والملائكة والناس أجمعين

” Mazhabku dan mazhab Al-Syafi’i dan fuqaha seluruh negeri bahawasanya kami meyakini Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk, barangsiapa mengatakan ia makhluk maka dia kafir, Al-Quran dibawa oleh Jibril apa yang didengarinya dari Allah Ta’ala, dan Nabi ﷺ mendengarnya dari Jibril, dan para sahabat mendengarnya dari Nabi ﷺ, dan ialah yang kita bacakan dengan lisan-lisan kita, apa yang ada antara dua lembarannya, apa yang ada dalam dada-dada kita, yang didengari, ditulis, dihafal, diukir kesemua huruf darinya seperti Al-Ba’ dan Al-Ta’ keseluruhannya adalah Kalamullah bukan makhluk, barangsiapa mengatakan makhluk maka dia kafir, ke atasnya laknat Allah, Malaikat dan manusia keseluruhannya “.

[ Rujuk Syarh Al-‘Aqidah Al-Asfahaniyah hal 35 ]

5- Dalil-dalil yang menetapkan Kalamullah itu bersuara yang didengari sangatlah banyak dan tidak mampu untuk dihitung dan dikira sama ada dalil naqli, aqli, lughah dan fitrah. Kata Imam Abu Nasr Al-Sijzi rahimahullah (wft:444H):

والنداء عند العرب صوت لا غير، ولم يرد عن الله تعالى ولا عن رسوله عليه الصلاة والسلام أنه من الله غير صوت، ولا خلاف بيننا في أن موسى مكلم بلا واسطة…… لأنه على قولهم ترتفع فضيلة موسى المختصة به من تكليم الله إياه بذاته من غير واسطة ولا ترجمان.

” Al-Nida’ (seruan) menurut orang arab adalah suara, tiada maksud lain, tidak datang dari Allah Taala dan RasulNya ﷺ bahawasanya ia bukan bersuara, tiada khilaf antara kita berkenaan Musa yang Allah bercakap dengannya tanpa perantara…kerana jika mengikut pendapat mereka (ia tidak bersuara) maka terangkatlah fadilat kelebihan Musa yang dikhususkan untuknya iaitu Allah berkata-kata dengannya dengan zatNya tanpa perantara tiada juga juru bicara (penterjemah).

Jelas Imam Al-Sijzi lagi:

وحد الصوت ما يتحقق سماعه، فكل متحقق سماعه صوت، وكل ما لا يتأتى سماعه البتة ليس بصوت

” Had suara itu apa yang terealisasi pendengarannya, setiap yang terealisasi pendengarnnya maka ia suara, dan setiap apa yang tidak mengakibatkan berlakunya pendengaran langsung ia bukanlah suara “. [ Rujuk Risalah Al-Sijzi ila ahli zabid ]

6- Adakah apabila kita menetapkan suara bagi Allah melazimkan tasybih kepada suara makhluk? Imam Al-Bukhari rahimahullah menjelaskan:

حركاتهم وأصواتهم واكتسابهم وكتابتهم مخلوقة، فأما القرآن المتلو المبين المثبت في المصاحف، المسطور المكتوب الموعى في القلوب، فهو كلام الله ليس بخلق…

“ Pergerakan manusia, suara-suara mereka, usaha-usaha mereka, tulisan-tulisan mereka adalah makhluk, adapun Al-Quran yang dibacakan yang jelas, sabit di dalam mushaf-mushaf, tertulis dan tersimpan di dalam hati-hati maka ia adalah Kalamullah bukan makhluk….

ويذكر عن النبي ﷺ أنه كان يحب أن يكون الرجل خفيض الصوت، ويكره أن يكون رفيع الصوت، وأن الله عزوجل ينادي بصوت يسمعه من بعد كما يسمعه من قرب فليس هذا لغير الله جل ذكره

“ Disebutkan dari Nabi ﷺ bahawasanya baginda menyintai seorang lelaki yang rendah suaranya (ketika berzikir), dan dibenci keadaan seseorang yang tinggi suaranya, kerana Allah Azza wa Jalla menyeru dengan suara yang didengari oleh sesiapa yang jauh sebagaimana didengari oleh sesiapa yang dekat, tidaklah mempunyai sifat ini bagi selain Allah.

Jelas Imam Al-Bukhari lagi:

وفي هذا دليل أن صوت الله لا يشبه أصوات الخلق، لأن صوت الله جلّ ذكره يسمع من بعد كما يسمع من قرب….

“ Dalam (hadis ini) dalil yang menunjukkan bahawa suara Allah itu tidak menyerupai suara-suara makhluk, kerana suara Allah Jalla zikruhu itu didengari oleh mereka yang jauh sebagaimana didengari oleh mereka yang dekat.. [ Rujuk Khalq Af’aal al-Ibad wa radd ‘ala Al-Jahmiyyah wa Ashab Al-Ta’til ]

Wallahu’alam.

 


Sumber: Ust Muhammad Fashan Ahmad Ziadi 

Back To Top