skip to Main Content

“Wahai anakku, pelajarilah ilmu untuk kamu mengamalkannya pada diri kamu dan untuk kamu mengajarkannya kepada masyarakat serta mendorong mereka untuk mengamalkannya. Pelajarilah ilmu untuk kamu memperbagus pentadbiran hidup dan jalan kehidupan dunia akhirat kamu. Kamu tidak mempelajari ilmu supaya ilmu itu menjadi belenggu di leher kamu dan menjadi rantai yang mengikat kaki kamu, yang menghalang kamu untuk bekerja mencari rezeki dan mendapatkan asbab kehidupan dunia.

Wahai anakku, seorang alim itu lebih layak diikuti oleh masyarakat pada urusan mencari pendapatan dengan jalan-jalan yang halal untuk menginfakkannya ke jalan-jalan kebaikan. Inilah dia sang alim yang memancarkan nur ilmunya kepada orang awam. Mereka mengikut petunjuknya apabila dia menjual, membeli, berhutang, bertani, berniaga dan memberi infak.

 

 

Wahai anakku, bukanlah aib ke atas penuntut ilmu sekiranya dia sendiri bekerja di  ladangnya atau ladang ayahnya, sebaliknya aib yang sebesar-besarnya adalah dia menjadi beban kepada masyarakat. Dia menunggu sedekah-sedekah dan lebihan-lebihan daripada orang-orang yang murah hati.

Wahai anakku, sebelum Nabi ﷺ diutuskan menjadi Rasul, baginda merupakan pengembala kambing dan kemudian baginda menjalankan perniagaan. Baginda terus-menerus dalam keadaan demikian sehinggalah rezeki baginda di bawah bayangan tombak baginda [Ḥasan: riwayat Aḥmad (5114)]. Abū Bakr juga merupakan peniaga sehinggalah beliau dilantik menjadi khalifah. Begitulah juga para Sahabat Rasūlullāh dan golongan Salaf yang mengikuti mereka. Ilmu tidak menghalang mereka daripada berada di dalam kalangan orang ramai untuk melakukan pekerjaan yang halal, malah mereka merupakan contoh tauladan yang baik pada pekerjaan-pekerjaan yang pelbagai.”

Lihat buku “Nasihat Sang Ayah Kepada Anaknya” karangan Shaykh Muḥammad Shākir, terbitan karya PiS (m/s: 104-106).

Gambar: Al-Shaikh Ahmad bin Muhammad Shakir.

Dapatkan buku “Nasihat Sang Ayah Kepada Anaknya” di sini -> https://shp.ee/42bwr9z

 


 

Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli 

Back To Top