skip to Main Content

Soalan: Apakah apabila imam tidak menyempurnakan bacaan ayat-ayat berkaitan kisah di dalam solat akan menyebabkan solat menjadi kurang sempurna? Adakah terdapat hadith berkaitan hal ini?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca surah atau sebahagian daripada ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah adalah termasuk di dalam perkara-perkara yang sunat ketika solat. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 240] Justeru itu, di sana terdapat bab berkaitan sifat dan jenis bacaan Nabi SAW di dalam solat dan artikel ini pernah kami terbitkan di dalam Irsyad al-Hadith siri ke-373 dan Irsyad al-Fatwa siri ke-311.

Di dalam mazhab Imam al-Syafie, bagi imam atau orang yang solat bersendirian disunatkan untuk membaca beberapa ayat daripada al-Quran selepas daripada membaca surah al-Fatihah dan yang afdhal adalah dengan membaca tiga ayat atau lebih. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 240]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith yang menceritakan berkaitan tuntutan kepada imam apabila membaca sesuatu surah yang melibatkan kisah-kisah di dalam al-Quran, maka dia (imam) perlu menghabiskan kisah tersebut sebelum dia ruku’. Tambahan pula, sekiranya seseorang imam itu tidak menyempurnakan bacaan sesuatu kisah di dalam satu rakaat atau dua rakaat sekalipun, maka itu tidak menjejaskan kesempurnaan solat tersebut. Akan tetapi, alangkah baiknya jika seorang imam itu mempelajari dan mengetahui akan jenis waqaf-waqaf (tempat berhenti) di dalam ayat-ayat al-Quran. Ini kerana, ia akan mendatangkan kekhusyukan kepada para makmum yang berada di belakangnya serta lebih memberi kesan terhadap hati-hati mereka dalam mentadabburi makna-makna al-Quran itu sendiri.

Terdapat hadith di mana Nabi SAW menegur perbuatan seorang khatib apabila khatib tersebut waqaf pada tempat yang salah iaitu:

 

أَنَّ خَطِيبًا خَطَبَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا، فَقَالَ: قُمْ – أَوِ اذْهَبْ – بِئْسَ الْخَطِيبُ أَنْتَ

Maksudnya: “Terdapat seorang khatib sedang menyampaikan khutbah di samping Nabi SAW. Katanya (khatib tersebut): “Barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, maka dia akan memperoleh petunjuk. Dan juga barangsiapa yang melakukan kepada keduamya (Allah dan rasul-Nya).” Maka Nabi SAW bersabda: Bangun atau pergilah kamu! Kamu adalah seburuk-buruk khatib.” [Riwayat Abu Daud (1099)][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sanadnya adalah sahih]

 

 

Hadith ini menunjukkan teguran Nabi SAW kepada seseorang yang mewaqafkan pada sesuatu ayat sehingga menyebabkan makna al-Quran itu boleh disalahfahami. Maka perbuatan seperti ini adalah berdosa. Untuk itu, Allah SWT memerintahkan agar kita membaca apa-apa yang mudah bagi kita daripada al-Quran di dalam solat:

  • Firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

al-Muzammil: 20

Maksudnya: “Oleh itu, bacalah mana-mana yang mudah bagi kamu untuk membacanya daripada al-Quran (dalam solat).”

 

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa di dalam solat terdapat tuntutan agar membaca apa yang mudah bagi orang yang ingin mendirikan solat. [Lihat: Tafsir al-Jalalayn, 775]

 

Penutup

Kesimpulannya, membaca beberapa ayat atau surah selepas daripada al-Fatihah adalah termasuk di dalam perkara-perkara sunnah di dalam solat. Selain itu, setiap orang yang ingin mendirikan solat sama ada secara bersendiri atau menjadi imam perlu menjaga ketika ingin memberhentikan bacaan agar tidak memberhentikannya pada ayat yang boleh mengubah makna al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa melazimi solat dan menunaikan solat di awal waktu. Amin.

 

Wallahua’alm


Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/3768-irsyad-al-hadith-siri-ke-430-imam-tidak-sempurnakan-bacaan-ayat-berkaitan-kisah-di-dalam-solat

Back To Top