Bismillah. Kebiasaannya saya hanya menjawab soalan2 berkaitan tajwid dan qiraat hanya di story Instagram kerana lebih selesa dengan audience yang kebanyakannya pemuda2 seusia saya, dan kerana di Facebook pula dah terlampau ramai asatizah2 kita yang pakar. Saya dah lama juga rasa nak menulis di FB tetapi rasa kurang yakin dan terlalu inferior dengan pakar2 kita yang menghalang diri saya. Tapi hari ini saya dengan rendah diri minta keizinan dari para mashaikh semua untuk cuba belajar menulis di FB pula. Barakallahu fiikum.
Baik, kembali kepada tajuk. Sebelum kita menjawab persoalan ini, terlebih dahulu harus kita ketahui bahawa sebenarnya, mengira kadar dengung/ghunnah dengan kiraan harakat ini tidak pernah diperkatakan oleh para ulama’ tajwid yang terdahulu, sebaliknya ia adalah pendapat yang sangat terkemudian dan sesuatu yang sangat baharu di dalam kitab2 tajwid. Konsep mengukur kadar ghunnah dengan istilah harakat ini hanya ditemui lebih kurang 300 tahun dahulu, dipelopori oleh al-Imam Muhammad bin Abi Bakr al-Mar’ashi (w.1145h) di dalam kitabnya “Juhd al-Muqill”, dan perkara ini juga diperakui oleh al-Mar’ashi dalam kitab tersebut bahawa beliau sendiri tidak pernah menemui mana2 karangan ulama’ sebelumnya yang mengukur kepanjangan ghunnah dengan ukuran harakat.
Seterusnya pendapat ini diteruskan oleh para ulama’ selepas beliau seperti al-Imam alDarkazliyy (w.1327h), Sheikh Muhammad Makki Nasr al-Juraysi, dan kebanyakan ulama’ tajwid yang muncul di zaman ini akhirnya mengikuti kaedah mengukur ghunnah dengan harakat. Akan tetapi, metod ini dikritik dan tiada sumbernya dari kitab2 tajwid yang terdahulu.
Jadi, bagaimanakah para ulama’ tajwid yang terdahulu (mutaqaddimin) mengukur kepanjangan dengung? Bagaimanakah mereka membeza-bezakan nun bersabdu, ikhfa’ shafawi, iqlab dan lain2 jenis dengung?
Kalau kita lihat semula karangan2 ulama’ tajwid yang terdahulu semisal al-Imam Abu Amru al-Dani (w.444h), al-Imam al-Jaabari (w.732h), al-Imam ibn al-Jazari (w.832h), al-Imam al-Mizzi (w.906h) dan Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (w.926h), kesemua mereka berpegang bahawa dengung ini terbahagi kepada 4 peringkat, iaitu;
1. Paling sempurna (أكمل) :
– Ianya adalah dengung yang terdapat pada nun dan mim yang bersabdu, seperti kalimah [(إِنَّ), (ثُمَّ)] dan juga pada nun dan mim yang diidghamkan seperti kalimah [(إِن نَّحْنُ) , (وَإن مِّن), (فَمَن يَعْمَلْ)]
2. Sempurna (كاملة)
– Dengung yang terdapat pada nun dan mim mati yang diikhfa’kan (ikhfa’ hakiki & syafawi, serta iqlab) seperti kalimat [(أَن بُورِكَ) , (الْإِنسَان) , (تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ)]
3. Kurang sempurna (ناقصة)
– Dengung atau sifat ghunnah yang sedia ada terdapat pada nun dan mim yang diizharkan (izhar halqi & syafawi) seperti kalimat [(سَمِيعٌ عَلِيمٌ) , (أَنْعَمْتَ)]
4. Paling kurang sempurna (أنقص)
– Dengung atau sifat ghunnah yang sedia ada pada nun dan mim yang berbaris. Seperti kalimah (إِيمَانُكُم)
Ada sepotong ayat al-Quran yang menghimpunkan kesemua kategori ghunnah ini, iaitu pada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 91 : (إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ)
Kita dapat lihat bahawa nun dan mim yang bersabdu dan diidghamkan paling sempurna (أكمل) suara dengungnya berbanding nun dan mim yang diikhfa’kan, dan huruf2 yang diikhfa’kan pula lebih sempurna (كاملة) suara dengungnya berbanding huruf2 yang diizharkan, dan huruf2 yang diizharkan pula kurang sempurna (ناقصة) suara dengungnya, manakala nun dan mim yang berbaris paling tidak sempurna (أنقص) suara dengungnya. Kategori ناقصة dan أنقص ini hanyalah sekadar menzahirkan sifat ghunnah yang sedia ada pada nun dan mim tanpa sebarang pertambahan pada kadarnya.
Ghunnah yang disebut sebagai أكمل dan كاملة pula adalah ghunnah yang mempunyai pertambahan pada kadar kepanjangannya dan kedua2nya berkongsi kadar kepanjangan yg sama, tetapi kadar ghunnah ini bergantung kepada kadar kelajuan bacaan sama ada tahqiq, tadwir atau hadr. Perkataan yang sama akan didengungkan dengan kadar yang berbeza mengikut kelajuan bacaan, jadi ghunnah ketika kita membaca al-Quran dengan martabah tahqiq akan lebih panjang berbanding ketika kita membaca dengan tadwir, dan begitu jugalah perbandingannya antara tadwir dengan hadr. Pendek kata, kadar ghunnah ini hendaklah dipelajari secara bertalaqqi dengan guru.
Kesimpulan daripada perbincangan ini, ghunnah tidaklah diukur dengan harakat, seterusnya kaedah mengukur kepanjangan ghunnah dengan kadar 2 harakat adalah kurang tepat dan dikritik kerana banyak sebab, antaranya;
– Pendapat ini hanya datang daripada ulama’ mutaakkhirin
– Mengira kadar ghunnah dengan kadar 2 harakat tidak akan dapat diseragamkan dengan 3 maratib tilawah iaitu tahqiq, tadwir dan hadr.
– Mengira kadar ghunnah dengan 2 harakat yang lazimnya dikiaskan dengan membuka atau menutup jari terdapat kekurangan, kerana ia akan menghasilkan natijah yang berbeza mengikut umur dan lapisan masyarakat (Kanak2 – Pemuda – Lelaki – Perempuan – Orang Tua)
– Harakat hanya digunakan pada mad dan bukan pada ghunnah.
Dan kerana ini jugalah, kalau kita cuba meneliti bacaan para Qurra’ teragung dunia, kita akan dapati kadar ghunnah yang dilakukan oleh al-Marhum Sheikh Mahmud Khalil al-Husary misalnya sangat panjang hingga melebihi 2 harakat, dan kadar ghunnah al-Marhum Sheikh Abdelbasit Abdelsamad lebih panjang kadarnya berbanding Sheikh Husary, dan begitulah kita akan dapati perbezaan dalam banyak rakaman2 al-Quran. رحم الله الجميع.
والله أعلم. وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله وأصحابه. والحمد لله رب العالمين.
Rujukan;
-Sheikh Farghali Sayed Arbawi, komentarnya dalam kitab Sharh al-Shatibiyyah lil-Imam al-Suyuti yang ditahqiq oleh beliau.
Sumber : facebook Syazani Jemy