skip to Main Content

1. Barangkali ada yang tertanya-tanya, mengapa nama Zaid hanyalah satu-satunya nama sahabat yang disebutkan di dalam al-Quran?

2. Perbincangan mengenai perkara ini pernah disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi. Menurut beliau, di zaman Jahiliah, seorang anak angkat itu akan “dibinkan” dengan nama ayah angkat mereka. Zaid bin Harithah adalah anak angkat Rasulullah. Ketika zaman Jahiliah, Zaid dibinkan dengan ayah angkatnya (Rasulullah) lalu Zaid dipanggil sebagai Zaid bin Muhammad.

3. Zaid merasa sangat mulia dengan panggilan ini kerana disandarkan namanya kepada nama Rasulullah. Namun Islam datang membatalkan amalan Jahiliah ini. Allah memerintahkan agar setiap anak dibinkan dengan ayah kandungnya. Firman Allah:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ ۚ
“Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; (Surah al-Ahzab: 5)

 

 

4. Lalu hilanglah bagi Zaid kemuliaan namanya disandarkan kepada Rasulullah. Sejak dari itu beliau dipanggil sebagai Zaid bin Harithah. Menurut al-Imam al-Qurtubi, kesedihan ini digantikan oleh Allah dengan perkara yang lebih baik iaitu nama beliau dipatrikan selamanya dalam al-Quran. Kata al-Qurtubi:

فَلَمَّا نُزِعَ عَنْهُ هَذَا الشَّرَفُ وَهَذَا الْفَخْرُ، وَعَلِمَ اللَّهُ وَحْشَتَهُ مِنْ ذَلِكَ شَرَّفَهُ بِخِصِّيصَةٍ لَمْ يَكُنْ يَخُصُّ بِهَا أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ أَنَّهُ سَمَّاهُ فِي الْقُرْآنِ
“Dan setelah mana ditanggalkan dari dirinya kemuliaan dan kebanggaan ini (namanya disandarkan kepada Rasulullah), dan Allah mengetahui kesedihanya itu, lalu Allah muliakan beliau dengan satu kelebihan yang khusus yang tidak pernah berlaku kepada sahabat lain iaitu namanya disebutkan di dalam al-Quran.” (Tafsir al-Qurtubi)

5. Zaid adalah orang yang benar-benar mencintai Rasulullah. Ketika beliau menjadi hamba suruhan Rasulullah dan Khadijah, ayah kandungnya pernah datang untuk membebaskan beliau dari menjadi orang suruhan keluarga Rasulullah. Namun Zaid memilih untuk menjadi orang suruhan Rasulullah sehingga ayahnya sangat hairan. Kata ayahnya:

يا زيد أتختار العبودية على الحرية وعلى أبيك وعمك وأهل بيتك؟، قال زيد: «نعم إني قد رأيت من هذا الرجل شيئا ما أنا بالذي يختار عليه أحدا أبدًا».
“Wahai Zaid, apakah engkau memilih menjadi hamba dari mendapat kebebasan bersama ayah dan keluargamu?” Zaid menjawab: Ya. Aku menyaksikan bahawa lelaki ini ada sesuatu dan aku tidak akan memilih selain darinya selama-lamanya.”

6. Kecintaan Zaid kepada Rasulullah menjadikan beliau seorang yang sangat mulia sehingga dipatrikan namanya di dalam al-Quran sehingga hari ini. Satu-satunya nama sahabat yang disebutkan di dalam al-Quran.
Semoga Allah membimbing kita.

 


Sumber : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Back To Top