Soalan: Apakah hukum imam membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan pada pagi Jumaat?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kita melihat banyak masjid, khususnya di negara kita mengamalkan bacaan surah al-Sajadah dan surah al-Insan di dalam solat Subuh pada setiap hari Jumaat. Maka, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjawab berkaitan hukum membaca kedua surah ini pada pagi Jumaat di dalam solat Subuh. Sebelum kami datangkan hukum berkaitan perkara di atas, maka ada baiknya jika kami datangkan beberapa buah hadith yang menceritakan akan hal tersebut:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan الم تَنْزِيلُ al-Sajadah dan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.” [Riwayat al-Bukhari (891), Muslim (879)]
Terdapat sebuah lagi riwayat yang hampir dengan riwayat di atas, juga daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ: بِالم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan “الم تَنْزِيلُ” (al-Sajadah) pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (al-Insan) .” [Riwayat Muslim (880)]
Berdasarkan dua buah hadith yang sahih di atas, maka jelaslah bahawasanya Nabi SAW membaca dua surah ini ketika Baginda SAW menunaikan solat Subuh atau Fajar pada hari Jumaat.
- Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani:
وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ قِرَاءَةِ هَاتَيْنِ السُّورَتَيْنِ فِي هَذِهِ الصَّلَاةِ مِنْ هَذَا الْيَوْمِ لِمَا تُشْعِرُ الصِّيغَةُ بِهِ مِنْ مُوَاظَبَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ذَلِكَ أَوْ إِكْثَارِهِ مِنْهُ
Maksudnya: “Padanya (pada hadith ini) menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” [Lihat: Fath al-Bari, 378/2]
Selain itu juga, menurut mazhab al-Syafie disunatkan membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan pada solat subuh Jumaat berdalilkan amalan Nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas. [Lihat: al-Muktamad, 261/1]
Pendapat Kami
Berdasarkan kata-kata Ibn Hajar al-Asqalani di atas, jelaslah kepada kita bahawa Nabi SAW seringkali membaca dua surah ini di dalam solat Subuhnya pada hari Jumaat. Akan tetapi, Nabi SAW tidak melakukannya pada setiap minggu. Di samping itu juga, kita juga boleh membaca surah-surah yang lain dan ini melihat kepada fiqh imam itu sendiri kerana imam yang akan membuat pilihan dengan meraikan orang-orang yang solat dibelakangnya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah memberi panduan bagi setiap orang yang ingin solat bersama manusia. Antaranya adalah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.” [Riwayat al-Bukhari (703)]
Penutup
Kesimpulannya, mengikut atau mengamalkan sunnah Nabi SAW adalah satu tuntutan di dalam agama. Akhirnya, marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk sentiasa melaksanakan solat lima waktu secara berjemaah di masjid-masjid dan semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat. Amin.
Wallahua’lam
Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/655-irsyad-al-hadith-siri-ke-215-membaca-surah-al-sajadah-dan-al-insan-pada-pagi-jumaat