skip to Main Content

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum non Muslim memasuki masjid?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Masjid (مَسْجِد) merupakan nama tempat yang berasal dari perbuatan sujud, dan kalimah masjid boleh dibaca dengan masjid atau masjad. Tapi sebutan yang lebih masyhur adalah bacaan masjid .

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”[1]

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya.[2]

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.”[3]

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al-Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.”[4]

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan. Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Masjid adalah tempat yang dikhaskan untuk solat lima waktu yang dilakukan secara berterusan padanya. Masjid juga boleh didefinisikan tempat solat di rumah. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.anha katanya:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِبِنَاءِ الْمَسَاجِدِ فِي الدُّورِ, وَأَنْ تُنَظَّفَ, وَتُطَيَّبَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya dibina masjid-masjid di rumah dan di kampung, serta dibersihkan dan diwangikan.[5]

Jenis-jenis Masjid

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili melalui kitabnya Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah antara lain menyatakan: “Masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud kemudian diitlaqkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah. Masjid mempunyai pelbagai jenis dan nama, antaranya:

Pertama: Masjid Utama yang tiga yang mempunyai hukumnya yang tersendiri, iaitu:

  • Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah.
  • Masjid al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
  • Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

 

 

Kedua: Masjid al-Jamek. Iaitu masjid didirikan solat jemaah, jumaat dan solat-solat seperti khusuf, istisqa’ dan lain-lain. Ia dikenali juga dengan lafaz al-Jamek kerana tempat berhimpun. Kadang-kadang digelar sebagai al-Jamek al-Kabir bagi masjid yang terbesar di satu-satu bandar utama.

Ketiga: Musalla. Ia merangkumi dua jenis:

  • Musalla al-‘Id.Iaitu tempat lapang yang didirikan solat dua hari raya. Biasanya di padang yang boleh memuatkan seramai mungkin penduduk negeri untuk melakukan ibadat solat.
  • Musalla al-Hay. Iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit di sesebuah tempat aau kampong. Ini bertujuan bagi menghidupkan solat berjemaah dengan mudah di samping meninggikan suara azan dan dua kalimah syahadah serta tauhid padanya. Mungkin di tempat kita dikenali sebagai surau.

Realiti di Malaysia pula menunjukkan pembahagian masjid atau tempat ibadat umat Islam dibahagikan kepada beberapa nama. Antaranya

  • Masjid Negara yang mewakili masjid utama bagi Negara ini.
  • Masjid utama Negara seperti Masjid Putrajaya dan Masjid Sultan Mizan.
  • Masjid Negeri seperti Masjid Wilayah Jalan Duta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan lain-lain.
  • Masjid Daerah yang biasanya setiap daerah mempunyai masjid utama. Ghalibnya terletak di pekan atau bandar kecil.
  • Masjid kampung sesetengah tempat dibahagikan kepada masjid jamek dan masjid kampung biasa. Sedangkan sebahagian yang lain hampir sama.
  • Surau Solat Jumaat dimana statusnya adalah surau tetapi diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat kerana maslahah tertentu.
  • Surau atau musalla dan sebahagian tempat digelar sebagai balasah. Ia hanya untuk solat Jemaah di kampung kecil atau di tempat yang tertentu.

Mutakhir ini banyak juga tempat-tempat seperti bangunan kerajaan, institusi kewangan dan lain-lain telah membina sebuah ruang untuk solat yang dikenali sebagai musalla atau surau. Antaranya seperti Surau Al-Insaf, Menara Maybank, Kuala Lumpur, Surau An-Nur, di Bank RHB, Kuala Lumpur dan lain-lain.

Hukum Non-Muslim Masuk ke Masjid al-Haram

Pada asasnya, majoriti ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Dalil bagi jumhur ulama’ ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Karena itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).[6]

Al-Qurthubi menukil penjelasan Imam al-Syafi’e yang mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram.[7]

Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh Ibn Hazm dan Imam al-Nawawi[8]

Para ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan orang Yahudi dan Nasrani memasuki masjid secara mutlak, iaitu sama ada Masjid al-Haram mahupun masjid yang lain, namun tidak dibenarkan bagi orang musyrik.[9]

Hukum Non Muslim Memasuki Masjid (Selain Masjid al-Haram)

Dalam membincangkan isu ini, para ulama’ mengambil asas rujukan hukum daripada firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini..[10]

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menjawab persoalan ini, di mana sebahagiannya mengharuskan dan sebahagian yang lain mengharamkan. Perbezaan pandangan-pandangan ini boleh diringkaskan seperti berikut:

Pandangan Pertama: Harus

Ini merupakan pandangan majoriti ulama dan fuqaha’, antaranya ialah:

  • Mazhab Hanafi: Abu Hanifah, Abu Yusuf[11]
  • Mazhab Maliki: Al-Abi dan Imam Dusuqi[12]
  • Mazhab Syafi’e: Imam al-Syafi’e, Imam al-Nawawi, Imam Khatib Syarbini dan Imam Fakhruddin al-Razi[13]
  • Mazhab Hanbali: Ibn Qudamah dan Ibn al-Qayyim[14]
  • Mazhab Zahiri: Ibn Hazm al-Andalusi[15]
  • Para ulama kontemporari seperti Syeikh ‘Athiyyah Saqar juga mengharuskan non Muslim memasuki masjid, samada untuk tujuan lawatan mahupun pelancongan.[16]

Mereka juga meletakkan beberapa syarat, antaranya hendaklah mempunyai tujuan yang baik-baik seperti untuk mempelajari agama Islam, lawatan dan hendaklah mendapat kebenaran orang Islam (yakni pihak pengurusan masjid).

Antara dalil-dalil bagi golongan yang berpendapat dengan keharusan ini adalah seperti berikut:

Imam Al-Bukhari ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan:

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”[17]

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.”[18]

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:

  • Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja.[19]
  • Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan.[20]
  • Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.

 

Pandangan Kedua: Haram

Menurut Imam al-Nawawi, Umar Abdul Aziz, Qatadah dan Imam Malik mengharamkan non-Muslim masuk ke masjid.[21]

Imam al-Mawardi memetik pandangan Imam al-Muzani yang menyatakan bahawa non-Muslim tidak boleh masuk ke masjid kerana mereka sentiasa dalam keadaan hadas dan berjunub.[22]

Menurut Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali, haram hukumnya non-Muslim masuk ke mana-mana masjid meskipun dengan keizinan orang Muslim, berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ

MaksudnyaHanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.[23]

Ini juga pandangan yang paling rajih dalam mazhab Hanbali sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Mardawi[24]

Terdapat juga riwayat bahawa Ali bin Abi Thalib R.A pernah melihat ada seorang majusi di dalam masjid ketika beliau sedang berkhutbah di atas mimbar. Kemudian Ali turun, dan memukulnya serta menyuruhnya keluar. Pendapat ini juga yang menjadi pendapat Umar bin Khatab radhiyallahu ‘anhu.[25]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa non-Muslim adalah diharuskan untuk masuk ke dalam masjid kecuali Masjid al-Haram, dan inilah pandangan majoriti ulama terdahulu mahupun kontemporari. Pandangan ini lebih menepati dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah, selain meraikan konteks masyarakat majmuk dan hubungan antara agama.

Inilah juga fatwa yang oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 di bawah tajuk ‘Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid’. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Inilah pandangan yang diamalkan oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Masjid-masjid di Malaysia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh pelusuk dunia kerana kecantikan dan kehalusan seni bina.

Namun demikian, adab-adab di dalam masjid mestilah dipelihara dan petugas-petugas masjid mestilah mengambil tanggungjawab bagi memastikan tiada salahlaku dan perlakuan tidak sopan terjadi di dalam masjid dan perkarangannya.

Wallahu a’lam.

[1] Riwayat al-Bukhari (438)

[2] Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27

[3] Lihat Taj al-‘Arus, 8/174

[4] Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396

[5] Riwayat Abu Daud (455), Tirmizi (594) dan Ibn Majah (758)

[6] Surah al-Taubah (28)

[7] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/105

[8] Lihat al-Muhalla, 3/162 dan Raudhah al-Thalibin, 1/296

[9] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/105

[10] Surah al-Taubah (28)

[11] Lihat Tafsir al-Qurthubi 8/105

[12] Lihat Jawahir al-Iklil 1/23 dan Hasyiyah al-Dusuqi 1/138

[13] Lihat Jawahir al-Iklil 1/23 dan Hasyiyah al-Dusuqi 1/138

[14] Lihat Al-Mughni 9/359 Zad al-Ma’ad 3/79

[15] Lihat Al-Muhalla 4/245

[16] Lihat Fatawa Dar al-Iftaa’ Misriyyah 8/492

[17] Riwayat al-Bukhari (469) dan Muslim (1764)

[18] Lihat Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.

[19] Lihat Taqrib al-Tahzib, 2/471

[20] Lihat Zad al-Ma’ad, 3/557

[21] Lihat Syarah Sahih Muslim, 12/87

[22] Lihat Al-Hawi Al-Kabir, 2/268

[23] Surah al-Taubah (18)

[24] Lihat Kasyaf al-Qina’ 2/370-371 dan Al-Insaf 4/241

[25] Lihat Mathalib Uli al-Nuha 2/617


Sumber : Maktabah Al-Bakri (Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Back To Top