
Pesanan untuk diri sendiri yang semakin sibuk dan kurang masa untuk Al-Quran.
Nabi sallallaahu alayhi wasallam berpesan kepada Abdullah Ibn Amr Al-Aas radhiyallaahu anhuma:
“Bacalah (khatamkanlah) Al-Quran dalam setiap bulan (paling kurang). Aku berkata: Sesungguhnya aku mampu lebih daripada itu. Kata Rasulullah sallallaahu alayhi wasallam: Maka khatamkanlah dalam tempoh 20 malam. Aku berkata: Sesungguhnya aku mampu lebih daripada itu. Kata Rasulullah sallallaahu alayhi wasallam: Maka khatamkanlah dalam tempoh 7 malam dan usah menambah lebih daripada itu.” (Bukhari&Muslim)
Betapa merahmatinya Rasulullah sallallaahu alayhi wasallam kepada umatnya. Dianjurkan untuk mengamalkan sesuatu ibadah pada kadar yang sesuai dengan kemampuan tetapi berterusan sifatnya. Dalam masa yang sama baginda cuba untuk melarang dari perihal terlalu menekuni sesuatu amalan hingga boleh membawa kepada perasaan bosan atau sikap meninggalkan amalan-amalan lain yang juga penting.
Namun para sahabat dan salaf (redha Allah ke atas mereka) juga tetap melebihkan daya bacaan mereka pada bulan-bulan yang memiliki fadhilat yang khusus seperti bulan Ramadhan hingga ada yang khatam dalam tempoh 3 hari. Bahkan ada hadith riwayat Abu Daud bahawa Nabi sallallaahu alayhi wasallam membenarkan khatam dalam tempoh 3 hari dan tidak menganjurkan untuk khatam kurang daripada 3 hari, kerana pastinya makna Al-Quran tidak mampu difahami sekiranya bacaan Quran disempurnakan dalam tempoh terlalu cepat.
Moga Allah bantu kita semua untuk mendirikan puasa, qiyam di malam Ramadhan dan bacaan Al-Quran yang berterusan.
#Quran #ramadhan #sunnah #khatam
Sumber : Ust Ahmad Fazrin Yahya