Seorang pelajar mengatakan dia tidak mampu sebut huruf ra. Jika disebut, ia menjadi ghain. Atau katanya, dia tidak mampu menyebut ha (ح). Jika disebut, ia menjadi ha besar. Persoalannya, adakah alasan ini boleh terus diterima lalu diberikan keringanan atas ketidakmampuannya ? Dalam masa yang sama, kita perlu sedar, huruf-huruf ini pula terdapat di dalam Surah Al Fatihah.
Jawapan :
🔸 Orang Melayu adalah bukan arab. Maka tidak mustahil, dia salah seorang yang boleh dipanggil Al Alkan. Ta’rif Alkan:
الْأَلْكَنُ: هُوَ االذى لَا يُقِيمُ الْعَرَبِيَّةَ لِعُجْمَةٍ فِى لِسَانِهِ كَأَنَ يَقُولَ مِثَالًا: الهَمْدُ ِلله
Al-Alkan : Seorang yang tidak mampu menuturkan huruf arab kerana keajaman(kesan bercakap selain bahasa arab)pada lidahnya. Ini sebagai contohnya ialah seorang yang membaca ( الهَمْدُ ِلله ).
Pun begitu, pelajar tadi tidak boleh dengan mudah mengekalkan sebutan huruf yang salah dengan hanya berdalilkan alasan ‘saya tidak mampu sebut huruf ini’.
🔸 Ada dua syarat yang disebut oleh Dr Abdul Ghafur Ali Jaafar dalam Madkhalnya sebelum diakui dia memang tidak mampu menyebut huruf tertentu :
PERTAMA :
التجربة المتكررة على يد الخبير
Latihan yang berulang kali di hadapan pakar.
Pakar yang dimaksudkan di sini ialah pakar Al Quran. Dan ianya bukan latihan sehari, sebulan atau setahun, tetapi latihan berterusan di hadapan pakar. Jika pelajar tadi hanya berlatih seorang diri di rumah tanpa bimbingan pakar dan guru, maka hujahnya tidak diterima.
KEDUA :
تقرير أهل الخبرة بعد المحاولات المخلصة من الطرفين
Pengakuan pakar (Al Quran) selepas diadakan latihan dan percubaan untuk memperelokkan sebutan di antara dua pihak iaitu pihak pakar dan pelajar.
Justeru, hanya setelah sekian lama berlatih dan mencuba bersungguh-sungguh, dan pakar tadi pula sudi mengesahkan bahawa memang dia lemah dari menuturkan huruf tersebut, barulah benar-benar dia dianggap terlepas dari kewajipannya menyebut huruf itu dengan tepat.
🔸 Dan kedua-duanya syarat di atas adalah berdalilkan kalam pengarang I’la’ As Sunan iaitu :
وَالْمُعْتَبَرُ فِى حُصُولِ الْيَأْسِ شَهَادَةُ حَاذِقٍ مِنَ الْقُرَّاءِ بِأَنَّ ذَلِكَ لَا يُرْجَى مِنْهُ أَنْ يَصِحَّ الْحُروفُ أَبَدًا لَا مُجَرَّدَ زَعْمِ الْمُتَعَلِّمِ فَافْهَمْ…
Dan yang mu’tabar pada bolehnya berputus asa (dari menyebut huruf tertentu dan mendapat keringanan), ialah dengan penyaksian pakar dari Qurra’ bahawa tiada harapan lagi untuk dia menyebut huruf tertentu dengan betul selama lamanya, bukan sekadar sangkaan pelajar itu semata-mata…
🔰 Justeru, seseorang yang tidak fasih menyebut huruf, sedang dia juga ‘malas’ berjumpa guru-guru Al Quran yang mahir secara istiqamah, hujah dan alasannya “saya tidak mampu sebut huruf ini” tidak diterima. Jika salahnya itu melibatkan huruf-huruf di dalam Surah al fatihah, solatnya boleh jadi tidak sah. Jika melibatkan bacaan Al Quran, dia sedang melakukan kesalahan nyata(jaliy).
Sumber: Ust Hanif Azmir Hassim