skip to Main Content

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Berapakah tinggi penghuni syurga apabila mereka berada dalam syurga? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkara seperti ini termasuk dalam perkara ghaibiyyat. Oleh itu, bagi menjawabnya kami bawakan satu riwayat daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ، طُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا، فَلَمَّا خَلَقَهُ قَالَ: اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ النَّفَرِ مِنَ الـمَلاَئِكَةِ جُلُوسٌ، فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ، فَإِنَّهَا تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَالُوا: السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَزَادُوهُ: وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ، فَلَمْ يَزَلِ الخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدُ حَتَّى الآنَ

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam sebagaimana bentuknya, tingginya enam puluh hasta. Setelah Allah menciptakannya, Dia berfirman: ‘Pergilah dan berilah salam kepada para malaikat yang sedang duduk itu. Dengarkan apa salam yang mereka ucapkan kepadamu. Sesungguhnya ia adalah salammu dan salam keturunanmu.’ Kemudian dia mengucapkan: ‘السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ (semoga kesejahteraan untukmu).’ Maka mereka menjawab: ‘السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ (semoga kesejahteraan dan rahmat Allah untukmu).’ Mereka menambahnya:‘وَرَحْمَةُ اللَّهِ (Dan rahmat Allah).’ Semua orang yang masuk syurga memiliki rupa bentuk seperti Adam. Lalu ciptaan itu terus berkurangan ukurannya sehingga sekarang.[1]

 

 

Selain itu, terdapat dalam riwayat lain dengan lafaz:

فكلُّ مَن يدخُلُ الجنَّةَ على صورةِ آدَمَ طولُه سِتُّونَ ذراعًا

Maksudnya:Justeru, sesiapa yang akan masuk ke dalam syurga akan dijadikan seperti bentuk Adam tingginya 60 hasta.”[2]

Di dalam al-Mu‘jam al-Wasit dinyatakan, mengikut ukuran semasa, 1 hasta bersamaan dengan 64 sentimeter.[3]Imam al-Nawawi menyebutkan, riwayat ini secara zahirnya menunjukkan dhamir (kata ganti nama) pada lafaz “صُورَتِهِ” kembali kepada Nabi Adam A.S. Maksudnya ialah Nabi Adam A.S telah diciptakan sejak awal kejadiannya lagi dalam rupa bentuknya ketika diturunkan di bumi dan begitulah juga keadaannya ketika diwafatkan iaitu tingginya adalah 60 hasta dan tidak mengalami perubahan sebagaimana keturunannya. Dalam erti kata lain, bagaimana rupa bentuknya di dalam syurga, maka itulah juga rupa bentuknya di bumi, tidak berubah.[4]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tinggi penghuni syurga adalah 60 hasta sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang sahih. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kesemua ahli syurga akan dibangunkan oleh Allah SWT dalam rupa bentuk yang paling cantik dan sempurna. Malah, ahli syurga pasti akan masuk syurga dalam keadaan muda dan remaja. Mereka ini seolah-olah bercelak dan usia mereka ialah sekitar 33 tahun. Hal ini kerana usia tersebut merupakan puncak dan keadaan paling sempurna dalam merasakan kenikmatan.

Selain itu, mereka juga dibangkitkan seperti mana rupa bentuk moyang mereka iaitu Nabi Adam A.S yang tingginya 60 hasta, yang telah diciptakan oleh Allah SWT sendiri dengan tangan-Nya. Maka, sudah tentu penciptaan tersebut merupakan penciptaan yang paling sempurna dan cantik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

[1] Riwayat al-Bukhari (6227)

[2] Riwayat Ibn Hibban (6162); Muslim (2841)

[3] Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 1/311.

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/178.


Sumber : Maktabah Al-Bakri (Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Back To Top