
Usah bergembira dengan dosa-dosa orang lain, kerana kita sendiri tidak suci daripada dosa.
عَنْ ثَوْبَانَ , عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , أَنَّهُ قَالَ
Tsauban radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasaLlam bersabda:
” لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ , بِيضًا ,
Aku benar-benar mengenali adanya kelompok daripada umat ku. Mereka datang pada hari Kiamat dengan kebaikan yang umpama gunung Tihamah.
فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا ” ,
Lalu Allah menjadikan (kebaikan mereka itu) debu-debu yang berterbangan.
قَالَ ثَوْبَانُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , صِفْهُمْ لَنَا , جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ ,
Tsauban berkata: Wahai Rasulullah, ceritakan ciri-ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk dalam kalangan mereka tanpa kami sedari.
قَالَ : ” أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: Mereka itu adalah saudara kamu, daripada jenis kamu.
وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ ,
Mereka menggunakan waktu malam (dengan beribadah) sebagaimana kamu menggunakan waktu malam kamu.
وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا
Tetapi mereka adalah kelompok manusia yang apabila mereka bersendirian dengan perkara yang Allah haramkan, mereka melakukan perkara haram itu. [Sunan Ibn Majah, Kitab az-Zuhud, hadis no: 4243. Al-Albani menyatakan ia sahih].
Hadis ini sangat menakutkan. Siapakah daripada kita yang tidak pernah melakukan dosa ketika bersendirian?
Pasti kita tertanya-tanya, adakah jika begitu, kita perlu zahirkan dosa kita?
Sudah pasti jawapannya tidak. Ini kerana menzahirkan dosa itu lebih teruk daripada dosa yang tersembunyi.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
.
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً،
Setiap orang daripada umat ku dimaafkan kecuali golongan yang melakukan maksiat secara terbuka. Sesungguhnya antara sifat tidak malu ialah apabila seseorang melakukan amal (maksiat) di waktu malam,
ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutupi (aib)nya, lalu dia berkata: Ya fulan, malam tadi aku telah melakukan itu dan ini. Dia telah tidur dalam keadaan Allah menutupi aibnya, dan pada waktu pagi dia membuka aib yang Allah telah tutup itu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 6069]
Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan tentang dosa besar yang ke 356:
إظهار زي الصالحين في الملأ ، وانتهاك المحارم ، ولو صغائر في الخلوة
Menzahirkan imej orang soleh di khalayak ramai, dan melakukan perkara yang haram walaupun sekadar dosa kecil ketika bersendirian.
Beliau berdalilkan hadis Tsauban di atas. [Al-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf ِ Al-Kabair, 3:49].
Shaikh Al-Albani berpendapat bahawa ‘bersendirian’ dalam hadis ini bermaksud apabila ada peluang melakukan maksiat, dia akan melakukannya. Shaikh al-Albani jua menerangkan bahawa orang yang dimaksudkan dalam riwayat Tsauban ini bukanlah orang yang sesekali terjerumus ke dalam dosa bila berpeluang melakukannya. Sebaliknya ia adalah orang yang merupakan kebiasaannya dan berterusan melakukan dosa bila ada peluang.
Ia ditunjukkan jua dengan terhapusnya segala amalan kebaikan yang menunjukkan kejahatannya terlalu banyak sehingga meneggelamkan kebaikannya. [1]
Tambahan pula perkataan yang digunakan ialah انتهاك yang boleh jadi menunjukkan orang yang memang sering melakukan maksiat apabila berpeluang, atau orang yang tidak merasa bersalah dengan dosa itu. Ia bukanlah merujuk kepada orang yang berusaha membaiki diri tetapi kadang-kala terjerumus melakukan maksiat.
Shaikh al-Shanqitee menerangkan bahawa ia merujuk kepada orang yang mempunyai ciri munafiq iaitu dia menzahirkan dirinya dengan pakaian kesolehan di khalayak ramai untuk menunjuk-nunjuk, dan bukannya kerana Allah. Apabila bersendirian, mereka melakukan dosa tanpa rasa takut. Ini berbeza dengan orang yang melakukan dosa ketika bersendirian dalam keadaan takut kepada Allah. [2]
Shaikh Muhammad bin Umar Bazmul menyatakan:
Ia bermaksud mereka yang menzahirkan apa yang tidak sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka. Ia tidak dimaksudkan kepada umat Islam yang melakukan dosa, lalu timbul penyesalan, bertaubat dan memohon keampunan. [3]
Berjaga-jagalah kita semua. Jangan sampai kita menjadi manusia yang memakai pakaian kesolehan di hadapan orang ramai, tetapi bila ada peluang melakukan maksiat, kita terus melakukannya tanpa merasa takut akan hukuman Allah. Takut-takut kita termasuk dalam hadis Tsauban di atas.
Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli