Biasanya tangisan tidak boleh dibuat-buat (تَّصَنُّع ). Ia datang dari hati. Pun begitu, Allah ada menceritakan tentang tangisan yang dibuat buat di dalam ayat 16 Surah Yusuf :
وَجَاۤءُوْٓ اَبَاهُمْ عِشَاۤءً يَّبْكُوْنَۗ
Kemudian mereka datang kepada ayah mereka pada malam hari sambil menangis.
Ayat ini mengisahkan tentang kakanda-kakanda Nabi Yusuf yang berpura pura menangis kononnya sedih kerana Yusuf telah dimakan serigala, padahal, hakikatnya Yusuf mereka buang di dalam sebuah perigi buta.
MUHASABAH :
💠 Jika tangisan di dalam pembacaan Al Quran kita, hanya mampu hadir ketika dilihat manusia semata-mata, hati-hati. Ia mungkin datang bersama sifat riya’ . Sebagai contoh, seseorang hanya mampu menangis ketika menjadi imam sahaja , sedang air matanya beku ketika solat sendirian.
💠 Pun begitu, seandainya, air mata kita mampu mengalir dalam dua keadaan, iaitu ketika dilihat manusia atau tidak, mudah mudahan ia adalah tahzin yang terpuji.
HADIS BERKAIT
Nabi ﷺ bersabda di dalam riwayat At Thobrani dari Buraidah RA dari ayahnya :
اقْرَؤُوا هَذَا القُرْآنَ بِالْحُزْنِ فَإِنَّهُ نَزَلَ بِالْحُزْنِ
Bacalah Al-Qur’an ini dengan rasa sedih, karena ia diturunkan dengan kesedihan.
Hadis semakna diriwayatkan oleh Abu Ya’ la dalam Musnadnya :
اقْرَؤُوا القُرْآنَ بِالْحُزْنِ فَإِنَّهُ نَزَلَ بِالْحُزْنِ
Bacalah Al-Qur’an dengan rasa sedih, karena ia diturunkan dengan kesedihan.
🔶 TA’RIF TAHZIN
Secara umumnya, penta’rifan tahzin di sisi para ahli Quran adalah merujuk kepada suatu bentuk pembacaan yang dilarang. Syeikh Muhammad Al Mahmud Abu Raimah sebagai contoh di dalam Hidayah al Mustafid mendefinasikannya sebagai :
هوَ أَنْ يَتْرُكَ القارِئُ طِباعَهُ وَعادَتَهُ فِي التِّلَاوَةِ ، وَيَأْتِي بِهَا عَلَى وَجْهٍ آخَرَ ، كَأَنَّهُ حَزِينٌ ، يَكَادُ أَنْ يَبْكِيَ مِنْ خُشوعٍ وَخُضوعٍ ، وَإِنَّمَا نُهِيَ عَنْ هَذَا لِما فِيه مِنَ الرّياءِ.
Ia adalah keadaan di mana pembaca meninggalkan tabiat dan kebiasaannya di dalam pembacaan dan membawanya dengan cara lain, seolah-olah dia dirundung kesedihan , dan hampir ingin menangis kerana khusyuk dan tunduk. Dan tahzin ini dilarang kerana padanya ada unsur riya’.
Pun begitu, kita perlu faham, hakikatnya At Tahzin ada dua jenis. Syeikh Umar Ma lam di dalam huraiannya bagi Risalah fi Lahn Al Qurra’ ada menyebut bahawasanya At Tahzin (bacaan berbentuk sedih) ada dua jenis :
𝟏- 𝐓𝐄𝐑𝐏𝐔𝐉𝐈 ( مَمْدُوحٌ)
Ia keadaan seorang yang membaca Kitab Allah dengan sedih, khusyu’ dan terkesan hatinya dengan ayat Allah. Tahzin jenis ini tidak tercela (bahkan terpuji).
🔰 Baginda Nabi ﷺ pernah menangis ketika membaca Al Quran di dalam solat malam Baginda ﷺ.
🔰 Begitu juga Sayyiduna Abu Bakar As Siddiq, yang kerap menangis ketika membaca Al Quran sehingga hampir tidak kedengaran suaranya dan tidak jelas bacaannya.
🔰 Sayyiduna Umar pula pernah membaca dan melalui ayat 84 Surah Yusuf :
وَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَٱبْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ ٱلْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ
Dan dia (Ya’qub AS ) berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata, “Aduhai dukacitaku terhadap Yusuf,” dan kedua matanya menjadi putih karena sedih. Dia diam menahan amarah (terhadap anak-anaknya).
Ketika itu Sayyiduna Umar menangis teresak-esak. Tidak mampu lagi meneruskan bacaan lalu beliau terus ruku’.
💠 TAMBAHAN :
Untuk kita memperolehi bacaan berbentuk Tahzin yang terpuji, bolehlah kita amalkan apa yang disebutkan Imam An Nawawi di Majmu’nya :
وَطَريقُهُ فِي تَحْصيلِ البُكاءِ أَنْ يَتَأَمَّلَ مَا يَقْرَأُ مِنْ التَّهْديدِ والْوَعيدِ الشَّديدِ والْمَواثيقِ والْعُهودِ , ثُمَّ يُفَكِّرُ فِي تَقْصيرِهِ فِيهَا , فَإِنْ لَمْ يَحْضُرْهُ عِنْدَ ذَلِكَ حُزْنٌ وَبُكاءٌ فَلْيَبْكِ عَلَى فَقْدِ ذَلِكَ , فَإِنَّهُ مِنَ المَصَائِبِ .
Dan caranya untuk menghasilkan tangisan ialah dengan merenungkan apa yang dibacanya berkait peringatan, ancaman yang keras, ikatan-ikatan aqad dan janji-janji, dan kemudian memikirkan kekurangannya pada yang demikian. Dan jika kesedihan dan tangisan masih tidak mampu hadir ketika itu, hendaklah dia menangisi atas kerasnya hati sehingga air matanta tidak mengalir. Ini kerana, ia adalah satu dari bentuk-bentuk musibah.
𝟐- 𝐓𝐄𝐑𝐂𝐄𝐋𝐀 ( مَذْمُومٌ)
Ia adalah didasari sifat riya’ (menunjuk-nunjuk) dan sum’ah (mengkagumi diri). Dan seakan-akan pembaca memberatkan diri untuk menghadirkan kesedihan dan mempertontonkan seolah-olah dirinya khusyu’ padahal pada hakikatnya tidak. Dia hanya riya’ dan sum’ah.
💠 TAMBAHAN:
Yazid bin Maisarah ada menyebutkan tujuh jenis tangisan dan salah satu daripadanya ialah (بكاء الرياء) tangisan riya’.
Imam Ibn Qayyim Al-Jauziy pula dalam kitabnya Zad al-Ma’ad membataskan tangisan kepada sepuluh jenis dan salah satu daripadanya ialah :
بُكاءُ النِّفاقِ ، وَهُوَ أَنْ تَدْمَعَ العَيْن ، والْقَلْبُ قَاس
Tangisan kemunafikan, iaitu mata mengalirkan air mata, sedang hatinya keras
Justeru, hati-hati dengan tahzin jenis ini. Kerana ia mampu menjangkiti siapa sahaja di kalangan permbaca.
Sumber : Ust Hanif Azmir bin Hassim