Ibn Al-Qayyim menukilkan bahawa suatu hari, telah sampai kepada pendengaran Umar bin Abd Al Aziz bahawa anak lelakinya telah membeli sebuah cincin berharga 1000 dirham. Serta merta Umar mengutuskan surat kepada anaknya dengan katanya :
فَإذَا أَتاكَ كِتَابِي فَبِعْ الخَاتِم وَأَشْبِعْ ِبه أَلفَ بَطنٍ
Maksudnya : Sekiranya telah sampai kepadamu suratku ini, juallah cincin kamu itu dan berilah makan sehingga kenyang kepada 1000 orang manusia.
Kemudian Umar mengarahkan anaknya itu membeli cincin dengan harga 2 dirham sahaja, dan disuruh supaya ditulis pada permukaan cincin tersebut :
رَحِمَ اللهُ امْرَءًا عَرَفَ قَدْر َنَفْسِه
Maksudnya : Semoga Allah merahmati seseorang yang mengetahui kadar kedudukan dirinya.
Rujuk Madārij Al-Sālikīn, Ibn Al-Qayyim (2/331)
Dalam peristiwa yang lain, Al Zahabi menukilkan daripada Maslamah bin Abdul Malik yang merupakan ipar kepada Umar, bahawa beliau berkata :
Suatu hari aku masuk bertemu dengan Umar bin Abd Al Aziz, dan aku mendapati pakaiannya begitu lusuh dan kusam. Lalu aku berkata kepada isterinya : Basuhlah pakaian ini. Isterinya berkata : Kami akan lakukan.
Kemudian harinya, Maslamah pergi lagi bertemu dengan Umar. Namun, dia mendapati baju yang dipakai oleh Umar bin Abdul Aziz masih dalam keadaan lusuh dan kusam. Dia ceritakan lagi kepada isteri Umar. Lalu isteri Umar, iaitu Fatimah binti Abdul Malik berkata :
وَاللهِ مَا لَهُ قَمِيص غَيرهُ
Maksudnya : Demi Allah, beliau tidak memiliki baju yang lain selain itu.
Rujuk Siyar A’lām Al-Nubala, Al Zahabi (5/134)
Setelah kita meneliti dua situasi ini, gambaran bagaimana urusan Umar bin Abdul Aziz dengan harta dan kemewahan dunia, ayuh kita akhiri renungan menerusi kisah di bawah :
Kata Al-Zahabi : Ketika Umar bin Abdul Aziz sedang nazak, beliau berkata kepada isterinya Fatimah binti Abdul Malik serta iparnya Maslamah bin Abdul Malik : Duduklah kamu di luar bilik.
Maka mereka berdua pun duduk menunggu di sebalik pintu bilik. Mereka mendengar suara Umar dari dalam bilik, beliau menyebut :
مَرْحَبًا بِهَذِهِ الوُجُوه لَيسَتْ بِوُجُوهِ إِنْسٍ ولَا جَان
Maksudnya : Selamat datang kepada wajah-wajah ini yang bukan merupakan wajah-wajah manusia dan tidak pula jin.
Kemudian Umar bin Abdul Aziz membaca firman Allah S.W.T :
تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya : Itulah hari akhirat yang Kami sediakan (nikmatnya) buat golongan yang tidak menginginkan ketinggian kedudukan di muka bumi serta tidak pula menginginkan kerosakan padanya, dan kesudahan yang baik adalah untuk golongan yang bertakwa.
Surah Al Qasas (83)
Kemudian Maslamah dan Fatimah masuk ke dalam bilik, dan mereka mendapati bahawa Umar telah dicabut rohnya yakni telah meninggal dunia.
Rujuk Siyar A’lam Al Nubala, Al Zahabi (1/142)
Semoga Allah merahmati Umar. Serta menjadikan kita dapat meneladani peribadi beliau – رحمه الله رحمة واسعة –
Sumber : Ust Muhammad Fahmi Rusli