SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah kita masuk tandas ketika waktu azan berkumandang? Emak saya tidak bagi saya masuk ke tandas ketika azan kerana dikatakan waktu tersebut syaitan sedang berkumpul di tandas.
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Terdapat hadith-hadith yang umum mengisyaratkan kepada hal sedemikian. Namun begitu, tiada riwayat yang menyebut secara jelas dan terang tentang syaitan berkumpul di tandas ketika azan. Disamping itu juga, tiada riwayat yang menunjukkan kepada tegahan untuk masuk ke tandas waktu azan.
Oleh yang demikian, tiada larangan untuk masuk tandas ketika azan berkumandang. Lebih-lebih lagi jika keadaan yang mendesak atau mempunyai tujuan seperti untuk bersegera supaya dapat hadir untuk berjemaah di masjid dan seumpamanya.
Walaubagaimanapun, jika mampu untuk menahan diri daripada memasuki tandas ketika azan, maka sebaiknya hendaklah melakukannya. Disamping itu juga, sangatlah disarankan untuk membersihkan diri dan berwuduk lebih awal sebelum azan, supaya mendapat pahala menjawab azan tersebut dan hadir lebih awal ke masjid. Hal ini kerana begitu besar pahala yang diganjarkan oleh Allah SWT bagi mereka yang menjawab azan dan hadir awal ke masjid.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Terdapat hadith-hadith yang menyebutkan bahawa syaitan mendiami tempat-tempat yang kotor seperti tempat membuang hajat. Justeru, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa sebelum masuk dan selepas keluar dari tandas bagi berlindung daripada syaitan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ وَ الخَبَائِثِ
Maksudnya: Sesungguhnya tempat membuang hajat ini didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan jantan dan betina.’
Riwayat Abu Daud (6)
Begitu juga, Rasulullah SAW juga menyebutkan tentang keadaan syaitan tatkala azan berkumandang. Syaitan-syaitan akan bertempiaran lari sehingga keadaan mereka terkentut-kentut supaya tidak mendengar laungan azan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ
Maksudnya: Apabila panggilan solat (azan) dikumandangkan, maka syaitan akan lari sambil terkentut hingga dia tidak mendengar azan lagi.
Riwayat al-Bukhari (608)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling lari sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut.
Riwayat Muslim (389)
Berdasarkan hadith-hadith di atas, secara umumnya ia mengisyaratkan bahawa tandas merupakan tempat yang didiami oleh syaitan dan apabila azan berkumandang maka mereka akan bertempiaran lagi sambil terkentut agar tidak mendengar laungan azan tersebut.
Walau bagaimanapun, tiada riwayat lain yang secara jelas mengatakan bahawa syaitan berkumpul di tandas ketika azan berkumandang. Begitu juga, tiada riwayat yang menunjukkan bahawa terdapat tegahan untuk masuk ke tandas waktu azan.
Lebih-lebih lagi jika sekiranya seseorang dalam keadaan terdesak untuk membuang air atau mempunyai tujuan seperti untuk bersegera ke masjid untuk menghadiri solat berjemaah, maka tiada larangan untuk dia masuk ke tandas ketika azan berkumandang.
Namun, apabila dia masuk ke dalam tandas waktu azan, maka dia akan terlepas untuk mendapat pahala menjawab azan. Hal ini kerana adalah makruh bagi orang yang berada di dalam tandas untuk menjawab azan. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:
وَيُسْتَثْنَى مِنْ هَذَا الْمُصَلِّي وَمَنْ هُوَ عَلَى الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ تَابَعَهُ
Maksudnya: Dan dikecualikan daripada ini (menjawab azan) bagi orang yang sedang solat, orang yang berada di dalam tandas, orang yang sedang berjimak. Apabila telah selesai daripada menunaikan hajat dan berjimak, maka bolehlah dia mengikutinya (menjawab azan). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:118)
Kami juga sudah membahaskannya secara panjang lebar dalam artikel yang lain, sila rujuk ‘Al-Kafi 1022: Menjawab Azan Dalam Tandas’. Oleh sebab itu, sekiranya dia mampu untuk menahan diri daripada memasuki tandas ketika azan, maka sebaiknya hendaklah dia melakukannya. Antaranya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca ketika mendengar seruan azan: ‘Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad SAW wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan’, maka pastilah baginya syafaatku pada hari Kiamat.
Riwayat al-Bukhari (514)
Begitu juga, janganlah hanya kerana menunggu selesai azan untuk masuk ke tandas dan kemudian bergegas untuk mengejar solat berjemaah di masjid menyebabkan seseorang itu terpaksa hadir dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil atau air besar.
Keadaan seperti ini akan menimbulkan rasa tidak senang dan menggangunya untuk khusyuk. Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلَا وَهُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
Maksudnya: Tidak ada solat ketika hadirnya makanan, dan tidak ada solat juga dalam keadaan seseorang itu menahan diri daripada membuang air kecil dan besar.
Riwayat Muslim (560)
Begitu juga, hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ وَهُوَ حَاقِنٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang seseorang lelaki solat dan dia dalam keadaan haqin (menahan diri daripada membuang air kecil atau besar)
Riwayat Ibn Majah (617) dan Ahmad (21648)
Oleh yang demikian, sangatlah disarankan untuk membersihkan diri dan berwuduk lebih awal sebelum azan, supaya mendapat pahala menjawab azan tersebut dan seterusnya hadir lebih awal ke masjid untuk solat berjemaah. Hal ini kerana begitu besar pahala yang diganjarkan oleh Allah SWT bagi mereka yang menjawab azan dan hadir awal ke masjid.
WaAllahu a’lam.
Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4636-irsyad-al-fatwa-siri-ke-536-hukum-masuk-tandas-ketika-azan-berkumandang