Kelas mengaji online, AKTIVITI pengajaran dan pembelajaran al-Quran tidak terbatas sekalipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan sehingga 14 April ini.
Segelintir guru dan pelajar mengambil kesempatan meneruskan aktiviti itu dengan cara lebih santai menerusi panggilan video di Facebook (FB) atau WhatsApp sebagai alternatif.
Kelas mengaji online – PKP bukan halangan teruskan mengaji.
Menerusi kaedah itu, guru dapat mengajar seperti biasa manakala pelajar dapat belajar mengaji secara dalam talian tanpa perlu bersua muka.
Guru, Muhammad Akram Afifi Mohd Salleh, 27, berkata, dia mula mengajar mengaji al-Quran secara dalam talian sejak dua tahun lalu.
Justeru, katanya, kaedah itu sudah sebati dengan dirinya dan mengakui dapat meluangkan masa mengajar lebih ramai pelajar sejak bermulanya PKP, 18 Mac lalu.
Menurutnya, pengajian secara dalam talian mempunyai banyak kelebihan, antaranya tidak terikat dengan komitmen dan kebebasan kepada pelajar menentukan waktu mengaji mengikut jadual mereka.
“Secara peribadi, saya tiada masalah menggunakan pendekatan ini kerana sudah lama mempraktikkannya.
“Sekurang-kurangnya kita dapat memanfaatkan teknologi yang ada dan saya bersyukur kerana semakin ramai menyatakan hasrat untuk mengikuti kelas mengaji dengan saya dalam tempoh PKP ini.
“Cuma kebiasaannya, hanya 45 minit atau sejam diperuntukkan setiap sesi bagi memastikan pelajar dapat fokus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, pelajarnya, Nurin Irdina Abdul Rahman, 23, mengakui tidak berdepan masalah untuk belajar mengaji dalam waktu PKP kerana sudah mengikuti kelas secara dalam talian sejak awal tahun lalu.
Malah, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Universiti Teknologi Mara, Seremban itu gembira kerana mempunyai banyak masa untuk belajar mengaji.
“Kebiasaannya saya meluangkan masa belajar mengaji dua kali seminggu selepas solat Isyak.
“Sudah setahun saya menggunakan pendekatan belajar mengaji secara dalam talian, jadi ia bukan satu perkara yang baru.
“Bagi saya, kaedah ini praktikal terutama ketika waktu sebegini di mana kita disaran duduk di rumah dan menjarakkan diri dengan satu sama lain.
“Sekurang-kurangnya kita dapat mengisi masa yang ada dengan mengaji al-Quran dan memperbaiki bacaan,” katanya.
Artikel ini dipetik dari akhbar Harian Metro Online.