skip to Main Content

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana jika seseorang yang telah melakukan solat fardhu di masjid, kemudian bila kembali ke rumah, dia ulang solat fardhu sekali lagi bersama isterinya. Hal ini bagi membantu isterinya agar sama-sama mendapat pahala jemaah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu baginda bersabda: “Tidak adakah seorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya?” [1]

Selain itu, Imam al-Mawardi menyebutkan di dalam kitabnya dua pendapat ulama mazhab Syafie iaitu sesiapa yang telah menunaikan solat fardu sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Kemudian, dia melihat solat fardu tersebut ada jemaah yang sedang mengerjakannya. Maka, sunat ke atasnya untuk solat bersama mereka, walau apa jenis solat (fardhu) pun. Ini adalah merupakan pendapat Ali bin Abi Talib, Huzaifah, Sa’id bin al-Musayyib dan Sa’id bin Jubair. Ini juga adalah merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Mawardi. Manakala sebahagian yang lain membezakan antara solat fardu yang pertama, telah didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Sekiranya telah didirikan secara berjemaah, makruh hukumnya mengulangi solat fardu Subuh dan Asar.[2]

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Dalam hal ini kami bahagikan kepada dua isu:

  • Seorang telah solat jemaah, kemudian solat sekali lagi untuk membantu orang lain mendapat pahala jemaah
  • Seorang telah solat sendirian, kemudian solat sekali lagi apabila mendapati ada solat jemaah didirikan

 

Asalnya, hukum solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA:

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.”[3]

Hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini telah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Ruwaihah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Adapun jika untuk mendapat pahala jemaah, maka disunatkan untuk diulangi semula bersama jemaah yang didapatinya. Inilah juga pandangan mazhab Maliki dan Syafi’e.[4]

Ini berdasarkan hadith riwayat Jabir bin Yazid al-Aswadi RA:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ‏”‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏”‏ ‏.‏ فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ ‏”‏ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏”‏ ‏.‏ قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ ‏”‏

MaksudnyaAku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda: “Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami. “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu.[5]

Selain itu, terdapat juga hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏ “‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏”‏

MaksudnyaRasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka Baginda bersabda: “Tidak adakah seseorang yang boleh bersedeqah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?”[6]

juga hadith daripada Mu’az bin Jabal RA:

كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ

MaksudnyaBeliau bersolat (Isya’) bersama Nabi SAW, kemudian pulang dan mengimamkan kaum beliau untuk solat Isya’.[7]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Pengulangan solat fardhu bagi mendapat pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala solat berjemaah, hukumnya adalah sunat. Begitu juga, perbuatan mengulangi solat itu juga merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat dari solat-solat fardhu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan.[8]

Penutup

Dalam isu di atas, kami berpandangan mengulangi solat fardhu untuk memperoleh pahala berjemaah, atau untuk membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah, hukumnya adalah sunat. Hal ini berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW serta amalan para sahabat sendiri, selain pandangan para fuqaha’ yang berpegang pada pandangan ini.

Adapun jika mengulanginya tanpa sebarang sebab dan keperluan, maka hukumnya adalah makruh.

Wallahu a’lam.

[1] Riwayat Abu Daud (574)

[2] Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/195

[3] Riwayat Abu Daud (579) dan al-Nasa’ie (860)

[4] Lihat ‘Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Dawud, 2/202; al-Fatawa al-Kubra, 2/283; al-Mudawwanah al-Kubra, 1/179 dan Raudhah al-Thalibin 1/343

[5] Riwayat al-Nasa’ie (858) dan al-Tirmizi (219)

[6] Riwayat Abu Daud (574)

[7] Riwayat al-Bukhari (700)

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/110


Sumber : Maktabah Al-Bakri (Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Back To Top